Teks ucapan penuh Majlis Amanat Ketua Menteri Melaka ‘Melakaku Maju Jaya’

Masa Membaca:17 Minit, 27 Saat

TEKS UCAPAN
YAB DATUK HAJI SULAIMAN MD ALI
KETUA MENTERI MELAKA

SEMPENA
MAJLIS AMANAT YAB KETUA MENTERI MELAKA
MELAKAKU MAJU JAYA

PADA 1 JULAI 2020 (RABU) JAM 9.00 PAGI
BERTEMPAT DI BALLROOM MITC

Lafaz selawat kepada Rasul Junjungan, Nabi Muhammad SAW, yang menjadi ikutan, dan suri tauladan sepanjang zaman.

Allahuma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad Wa’ala A-li Sayyidina Muhammad.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Melakaku Maju Jaya.

Saudara Pengacara Majlis;

Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Hasim bin Hasan,
Setiausaha Kerajaan Negeri;

Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri;

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara;

Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri;

Yang Berusaha Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Agensi Peringkat Negeri dan Persekutuan;

Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Dato’ Seri-Dato’ Seri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Dif-Dif Kehormat, rakan-rakan media,

Tuan-tuan dan puan-puan, para penjawat awam yang dikasihi sekalian,

Apa kabau semua? Orang Melaka semua sihat?
Syukur, Alhamdulillah.

Pada pagi ini, tanggal 1 haribulan Julai 2020 bersamaan 9 Zulkaedah 1441 Hijriyyah, saya memulakan dengan membaca sepotong ayat suci Al-Quran dari surah At-Taubah, ayat 105, berbunyi:

“Dan katakanlah (Wahai Muhammad), ‘Bekerjalah kalian, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaan kalian itu dan kalian akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kalian apa yang telah kalian kerjakan.”

Berbekalkan firman Allah SWT ini, menyeru kita bahawa, bekerjalah kita dengan bersungguh-sungguh, tekun serta penuh tanggungjawab, kerana, segala amal pekerjaan kita nanti, akan dihitung dan dihisab oleh Tuhan yang Maha Mengetahui, segala yang nyata mahupun tersembunyi, terhadap apa yang telah kita kerjakan.

Saudara dan saudari, penjawat awam yang dikasihi sekalian,

Alhamdulillah, dengan takdir Allah SWT, buat julung kalinya, meskipun masih terikat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan atau PKPP, kita dapat berhimpun, bagi saya menyampaikan amanat penting, kepada ketua-ketua jabatan di negeri Melaka seramai 250 orang.

Pada kesempatan ini, saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh penjawat awam di negeri Melaka, di bawah YB Datuk Seri Dr. Hasim bin Hasan selaku Setiausaha Kerajaan Negeri, mewakili seramai 7,553 kakitangan Kerajaan Negeri Melaka dan sejumlah 32,015 staf Kerajaan Persekutuan di Negeri Melaka.

Atas sokongan yang diberikan, khususnya, kepada Kerajaan Negeri Melaka yang baharu, di bawah pimpinan saya, lalu, saya ingin memberikan setinggi penghargaan, kepada seluruh penjawat awam di negeri Melaka, yang jumlah keseluruhannya mencecah 39,568 orang. Tahniah diucapkan!

Kedua, dari hati yang sungguh mendalam, saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga, kepada semua frontliners COVID-19 negeri Melaka, termasuklah para doktor, jururawat, pasukan polis dan tentera, imigresen, bomba, RELA, Angkatan Pertahanan Awam, pihak berkuasa tempatan dan lain-lain agensi.

Bermula dari PKP, PKPB, PKPP, mereka ini telah bertugas siang dan malam, berhujan, berpanas, berkorban masa, jiwa dan raga, mengambil risiko sehingga nyawa menjadi taruhan, meninggalkan keluarga, anak dan isteri tercinta, demi memastikan kita semua selamat dan dijauhi daripada wabak berbahaya, COVID-19.

Lalu, marilah kita ucapkan syabas, dan tepukan gemuruh kepada mereka semua, frontliners yang kita kasihi!

Ketiga, tidak sempurna, jika tidak kita berikan penghargaan, kepada seluruh rakyat negeri Melaka, kini dianggarkan berjumlah 930,700 orang, membantu Kerajaan Negeri, terutama dalam menghadapi cabaran COVID-19 ini, mematuhi segala peraturan, dan disiplin yang telah ditetapkan.

Sesungguhnya, betapa pentingnya rakyat ini kepada saya dan Kerajaan Melaka, seperti yang diolah daripada bidalan Melayu lama bahawa, “rakyat itu umpama akar, Kerajaan pula bagaikan pohonnya. Jikalau tiada akar, bagaimana mungkin pohon dapat berdiri teguh”.

Apa yang penting, Kerajaan Melaka berikrar, akan berusaha gigih, demi kesejahteraan rakyat. Selagi COVID-19 belum berakhir, teruslah bersabar dan berdoa, biasakan diri dengan “the new norm”, norma baharu ini, mematuhi SOP yang ditetapkan, pakai pelitup muka, guna hand sanitizer, patuhi penjarakkan sosial dan elakkan himpunan besar dengan Hashtag, #MelakaMestiMenangCOVID19.

Lebih menggembirakan, menurut Menteri Kanan Kluster Keselamatan, dalam kalangan negeri-negeri, yang sedang dilanda wabak COVID-19, dikhabarkan, negeri bersejarah ini, mencatatkan kadar pematuhan PKPB tertinggi pada 98 peratus, sekaligus menjadikan Melaka antara 3 negeri terbaik di seluruh Malaysia!

Justeru, bersamalah kita beri tepukan pujian dan syabas kepada seluruh rakyat negeri Melaka!

Saudara dan saudari,

Saya sedar siapa saya. Saya faham, kami bukanlah Kerajaan yang mendapat mandat undi majoriti dalam Pilihanraya Umum Ke-14 lalu.

Namun, siapalah saya juga untuk menolak ketentuan Tuhan. Takdir Allah telah menetapkan, saya menjadi pemimpin Kerajaan Melaka, bersama rakan-rakan di bawah Perikatan Nasional.

Ditambah lagi, sewaktu mengambil alih tampuk kepimpinan negeri, kita berdepan dengan sekurang-kurangnya 3 cabaran besar. Cabaran kesihatan, ekonomi dan politik.

Rakyat tak boleh keluar cari rezeki, ada yang hilang pekerjaan, politik pula ‘suhunya masih panas yang perlu distabilkan’. Ini belum lagi wabak COVID-19. Isu ini perlu diuruskan secara berkesan bagi mengelakkan jangkitan dalam kalangan rakyat. This is very unprecedented!

Semuanya membuatkan saya semakin berasa insaf bahawa, jawatan ini sebenarnya bukanlah suatu kemegahan untuk dibanggakan, sebaliknya adalah “taklif”, yakni tanggungjawab besar yang harus dipikul bersama.

Paling penting, saya nak tuan-tuan dan puan-puan serta rakyat Melaka semua tahu bahawa,…

Saya dengar keluhan rakyat,…
Saya belajar memahami mereka,…
Saya peduli nasib rakyat,…
I will serve my best for you.

Oleh itu, saudara dan saudari penjawat awam sekalian, saya pohon, saya rayu, bantulah saya, kita sama-sama bekerja kuat, berganding sebagai satu pasukan, bagi menjadikan, Melaka yang lebih maju dan lagi berjaya!

Boleh tuan-tuan? Boleh?

Saudara dan saudari,

Di sisi lain, Kerajaan Negeri Melaka ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang dipimpin, Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia.

YAB Perdana Menteri, begitu mengambil berat tentang kebajikan rakyat, sehingga telah mengumumkan pelbagai pakej rangsangan ekonomi antaranya, Pakej PRIHATIN dan PRIHATIN PKS Tambahan berjumlah RM260 bilion dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) berjumlah RM35 bilion.

Saudara dan saudari,

Sejak memikul tanggungjawab sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 pada 9 Mac 2020, tanpa berlengah-lengah lagi, saya bersama sahabat-sahabat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, dibantu para pegawai dan penjawat awam negeri Melaka, terus bertekad, bertindak melaksanakan pelbagai inisiatif serta pengumuman penting, yang dapat bantu meringankan beban ditanggung oleh rakyat.

Alhamdulillah, diam tak diam, 100 hari telah berlalu. Sekarang sudah 115 hari, Kerajaan ini berkhidmat membantu sekalian rakyat Melaka.

Antara isu pertama yang kita selesaikan adalah masalah kekurangan bekalan air, mengakibatkan program Bekalan Air Berjadual, terpaksa dilaksanakan bermula dari 29 Januari 2020.

“Orang Melaka dah bising ketika itu. Nak mandi susah. Industri perniagaan banyak yang terjejas. Orang nak basuh pinggan pun kena tadah air.” Saya masih ingat lagi, sampai ada orang kampung dalam DUN saya pesan, “Tok Leman, solosailah copek hal air ini. Den dah duo haghi tak mandi ni”. Saya jawab, sabau,… sabau,… InsyaAllah, Allah bantu kita.

Berkat doa yang tidak putus-putus daripada rakyat Melaka, selain melakukan segala usaha untuk mengatasi isu ini, akhirnya pada 1 April 2020, kita berjaya menamatkan Program Bekalan Air Berjadual melibatkan 735,221 isi rumah.
Kerajaan negeri juga telah mengambil beberapa tindakan segera, bersifat perancangan jangka pendek dan panjang, bagi memastikan kelangsungan bekalan air kepada masyarakat di negeri Melaka terjamin antaranya:

• Meneruskan pelaksanaan Projek Pembinaan Empangan Jernih pada tahun semasa,
• Projek Off River Storage (ORS),
• Melaksanakan Kajian Kemungkinan Pembinaan Empangan Pesisir Pantai (Coastal Reservoir) di Lembangan Sungai-sungai Negeri Melaka dan
• Memohon peruntukan RMKe-12 bagi Projek Mitigasi Tasik Biru dan Sungai Kesang sebagai alternatif musim kemarau.

Tambahan, paras Empangan Durian Tunggal pada 27 Jun 2020, mencatatkan bacaan 93%, jauh lebih baik berbanding pada tarikh yang sama tahun 2019, di mana, jumlah takungan hanya 50 peratus.

Berdasarkan bacaan tersebut, InsyaAllah! kita tidak akan menghadapi masalah air, paling kurang pun hingga awal tahun hadapan.
Saudara dan saudari,

Sepanjang 100 hari yang lalu, ramai bertanya, apakah yang telah Kerajaan Negeri lakukan demi manfaat rakyat?

Jika ingin diceritakan satu persatu, apa yang kita lakukan sepanjang tempoh tersebut, memang terlalu banyak. Cukuplah saya sebutkan sebahagian inisiatifnya.

• Menangguhkan denda lewat cukai tanah dan cukai strata.
• Menangguhkan bayaran balik pinjaman pendidikan TAPEM melibatkan 7,400 orang peminjam.
• Mengurangkan sewaan penyewa rumah kos rendah dan rumah pangsa milik Lembaga Perumahan Melaka melibatkan 1,471 penyewa.
• Menangguhkan bayaran bil air pada bulan Mac 2020 melibatkan 260,000 isi rumah.
• Mengecualikan sewa tapak dan bayaran lesen penjaja dan peniaga kecil.
• Memberi peruntukan khas kepada frontliners dari KKM, merangkumi elaun makan petugas dan pembelian peralatan asas.
• Memberi bantuan Insentif Frontliner PBT melibatkan 580 petugas.

Berhubung dengan inisiatif tersebut, saya diberitahu cerita sedih, seorang anggota petugas barisan hadapan telah ditimpa kecelakaan sewaktu bertugas menjaga rakyat Melaka demi memerangi COVID-19.

Beliau yang saya maksudkan Encik Mohd Farid bin Nayan, seorang anggota polis yang terlibat dengan kes kemalangan jalanraya di daerah Jasin sehingga menyebabkan kecederaan kaki kanannya patah.

Kerajaan Negeri Melaka bersimpati dan menyanjung tinggi akan pengorbanan yang beliau taburkan kepada negeri bertuah lagi bersejarah ini.

Marilah kita beri tepukan gemuruh kepada Encik Mohd Farid Bin Nayan!

Saudara dan saudari,

Inisiatif seterusnya:

• Mengurangkan bayaran bil air bulanan penyewa dan pemilik rumah kos rendah melibatkan 3,974 isi rumah.
• Memberi Bantuan Kit Makanan Asas melibatkan 36,400 orang penerima.
• Melaksanakan projek Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Negeri 2020 bernilai RM10 juta melibatkan 83 projek dan 9 agensi.
• Membenarkan Operasi e-Bazar@Melaka.
• Menawarkan Khidmat Nasihat dan Rundingan Syariah percuma secara dalam talian.
• Membenarkan penjaja dan peniaga kecil berniaga di kawasan depan rumah sepanjang tempoh PKPB.
• Mewujudkan aplikasi pelancongan Melaka eXcess.

Sepanjang tempoh 9 Mac hingga 6 Jun 2020, kita juga berjaya mengurangkan hutang Kerajaan Negeri Melaka kepada Kerajaan Persekutuan, berjumlah RM162.88 juta.

Sebenarnya, banyak lagi yang ingin saya kongsi di sini. Namun, mana yang tidak disebut, silalah rujuk kepada risalah pencapaian 100 hari Kerajaan Negeri Melaka.

Terakhir, yang saya nak sebutkan di sini ialah, kita juga telah memberi Bantuan MAIM, termasuklah Bantuan Makanan Bulanan, Bantuan Bulanan Bank, Bantuan Tunai Bulanan, Bantuan Makanan Kecemasan, Bantuan Petugas Barisan Hadapan, Bantuan Pusat Kuarantin (CReATE), Bantuan Sukarelawan Asnaf, Fakir, Miskin dan Mualaf, Bantuan Peniaga Kecil/Penjaja kepada semua rakyat yang susah serta layak untuk dibantu.

Keseluruhan inisiatif Kerajaan Melaka dan MAIM ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM28.17 juta.

Berkait ini, saya ingin berkongsi kisah hidup seorang ibu tunggal bernama Rabeah Habsah. Beliau yang tidak mampu bekerja mencari nafkah keluarga, terpaksa bergantung harap dengan anak kembarnya yang baru berusia 15 tahun.

Bayangkan anak-anak tersebut yang baru pulang dari sekolah, terpaksa bekerja demi sesuap nasi.

Keluarga itu kini telah dibantu oleh Zakat Melaka sebanyak RM550 sebulan, selain bantuan bayaran sewa rumah yang mereka diami sekarang.

Semoga Rabeah Habsah dan anak-anaknya tabah dalam menghadapi ujian kehidupan. Kita doakan agar anak-anaknya berjaya dalam pelajaran. Justeru, sekalung penghargaan kepada kedua anak kembar Puan Rabeah!

Saudara dan saudari sekalian,

Bercakap tentang negeri Melaka pula, ramai yang bertanya, apa yang ingin “Tokleman” lakukan? Apa “Tokleman” nak buat? Ke mana hala tuju “Tokleman” nak bawa Melaka tercinta ini?

Sepintas lalu, Melaka mula diisytihar menjadi negeri maju pada zaman Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam pada tahun 2010, dengan menggunakan indikator OECD.

Kemudian diperkenalkan pula “Negeri Bandar” mengguna pakai petunjuk MURNInet, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Selepas itu, dikemukakan pula “Negeri Teknologi Hijau”, mengguna pakai indikator bandaraya hijau, model bandaraya Pasadena, di California.

Pada kesempatan ini, saya mewakili Kerajaan negeri, dan seluruh rakyat Melaka ingin merafak sembah tahniah kepada Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri (Dr.) Hj. Mohd Ali bin Mohd Rustam atas pelantikan Tun sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-7.

Saudara dan saudari,

Kini, pada pentadbiran ini, dengan merangkumkan semuanya itu, menggunakan indikator, “MATLAMAT PEMBANGUNAN LESTARI” atau SUSTAINABLE DEVELOPMENT GOALS atau SDG, yang digunapakai oleh semua negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

SDG ini meliputi pembangunan ekonomi, lazimnya digunakan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat dengan penggunaan sumber yang bijaksana, selain memastikan pemuliharaan terhadap alam sekitar.

Dalam konteks negeri Melaka, kita mahu membawa Melaka ini, bukan sahaja menjadi negeri yang lebih maju, berteknologi hijau, pintar bahkan membawa Melakaku ini lebih cemerlang dan seimbang, terus maju jaya, MENUJU NEGERI LESTARI.

Ada 17 matlamat pembangunan lestari atau SDG yang menjadi panduan untuk dilaksanakan Negeri Melaka antaranya:

• Kemiskinan Tegar & Kelaparan Sifar
• Kesihatan & Kesejahteraan
• Pendidikan
• Pekerjaan dan Pembangunan Ekonomi
• Infrastruktur
• Memelihara dan memulihara kawasan lautan dan daratan

Saudara dan saudari,

Selari dengan SDG yang disebutkan sebentar tadi, maka visi negeri Melaka yang baharu ialah “MENUJU NEGERI LESTARI”.

Manakala misi baharu Melaka pula adalah berasaskan perkataan T.E.R.A.S. atau TERAS

TEKNOLOGI – Memperluaskan inisiatif pintar dan memperkasa data dalam agenda pembangunan negeri.

ENTREPRENEURSHIP – Membangunkan dan menyokong ekonomi rakyat tempatan menjadi lebih berdaya maju.

REVOLUSI INDUSTRI DAN EKONOMI – Merancakkan negeri Melaka sebagai sebuah destinasi pelaburan berkonsepkan agro-industri, biotoknologi, Industri 4.0, perusahaan industri digital dan industri perkhidmatan maritim.

ANTARABANGSA – Memperhebat industri pelancongan agar lebih berkualiti, unik serta bertaraf dunia.

SEJAHTERA – Menghidupkan Persekitaran negeri terbersih, terindah, lestari, selamat, selesa, semangat dan nilai kekitaan (sense of belonging) serta ekonomi, yakni taraf hidup rakyat yang berkualiti, sejahtera dan lebih baik untuk didiami.

Bagi PEMBOLEH DAYA atau Enabler pula ada enam.

Satu : Keterangkuman dan Kesalinghubungan
Dua : Kemampanan Ekonomi
Tiga : Kecanggihan Teknologi Hijau, Pintar dan
Pendigitalan
Empat : Keberdayaan Modal Insan
Lima : Keutuhan Budaya dan Warisan
Enam : Keihsanan dan Integriti

Menyentuh tentang hal slogan pula, agak-agaknya apa dia ya?

Baiklah, akhirnya saya memutuskan slogan rasmi negeri ini ialah:

MELAKAKU MAJU JAYA,
RAKYAT BAHAGIA,
MENGGAMIT DUNIA

Saya ulang ya.

MELAKAKU MAJU JAYA
RAKYAT BAHAGIA
MENGGAMIT DUNIA

Ok boleh ingat dah? Beginilah. Saya pohon semua yang ada di dalam Dewan ini agar berdiri.

Bila saya laungkan MELAKAKU!
Saya nak semuanya menjawab, MAJU JAYA! serentak tangan kanan diangkat tinggi.

Saya sebut RAKYAT!

Semuanya menjawab BAHAGIA! Sambil tangan kanan diangkat tinggi.

Saya sebut MENGGAMIT!

Semua menjawab, DUNIA! Serentak tangan kanan diangkat tinggi.

Baik, sudah ready semua?

MELAKAKU,…
MAJU JAYA,

RAKYAT,…
BAHAGIA,

MENGGAMIT,…
DUNIA.

Saudara dan saudari,

Mengapa kita pilih slogan MELAKAKU MAJU JAYA, RAKYAT BAHAGIA, MENGGAMIT DUNIA?

MELAKAKU menzahirkan rasa kepunyaan dan memiliki atau sense of belonging, membangkitkan roh serta semangat kekitaan rakyat negeri ini yang berbilang agama, bangsa dan budaya supaya dapat hidup bersatu, saling bantu membantu.

MELAKAKU MAJU JAYA pula bermaksud; Melaka yang terus kekal maju ke hadapan, makmur, berdaya saing, lebih berjaya, berjati diri, mempunyai kesemua ramuan kejayaan, seperti efisyen, cepat bertindak dalam memenuhi kesemua KPI.

Ia juga sebuah Kerajaan kontemporari, futuristik, responsif dan sentiasa bersedia dengan perubahan serta kemajuan teknologi dunia, khususnya untuk mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan Ekonomi Digital (digital economy) serta masyarakat 5.0 (society 5.0).

Melakaku Maju Jaya juga turut menekankan aspek nilai dan kerohanian, sebagaimana yang disebut dalam surah As-Saba’ ayat 15, sebagai “Baldatun Thoyyibatun Wa Rabbun Ghafur”, yakni “negeri makmur Tuhan berkati”.

Pada sisi lain, kita akan mengadakan Pertandingan mencipta Logo bagi slogan baharu ini terbuka kepada orang ramai untuk menyertainya.

RAKYAT BAHAGIA bermula daripada usaha sebuah Kerajaan negeri yang berjiwa rakyat, prihatin, mendengar keluhan dan merasai denyut nadi rakyat, khususnya rakyat B40, supaya rakyat dapat hidup bahagia.

Meletakkan perkataan “rakyat” merupakan suatu langkah untuk mengangkat martabat rakyat yang berbilang kaum dan agama terdiri daripada Melayu, Cina, India, Baba Nyonya, Portugis, Chetti dan sebagainya.

“Rakyat bahagia”, adalah rakyat yang benar-benar sejahtera, mencapai kemajuan dan Al-falah, yakni kecemerlangan dan keseimbangan, hasanah yakni kebaikan duniawi dan ukhrawi sebagaimana dalam surah Al-Baqarah ayat 201.

Terkini, dalam laporan indeks Kebahagiaan, oleh MURNInets Kebangsaan, PLANMalaysia, KPKT telah merekodkan bahawa, 2 bandar di negeri ini iaitu Bandar Melaka dan Jasin telah tersenarai dalam 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia bagi tahun 2019!

Tahniah kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan Majlis Perbandaran Jasin!

Hari ini saya nak beri KPI kepada Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya dan Majlis Perbandaran Alor Gajah untuk mendapat status yang sama pada tahun ini juga. Take my challenge now!

Apabila keempat-empat Pihak Berkuasa Tempatan ini mencapai status Bandar Paling Bahagia, maka barulah negeri Melaka menjadi negeri yang paling bahagia.

Saudara dan saudari,

Kita memilih slogan MENGGAMIT DUNIA kerana ingin “memanggil”, “mencuit”, “menarik”, perhatian dunia, bukan sahaja pelancong, bahkan para pelabur serta negara-negara lain untuk berkunjung, melabur dan menyakini bahawa Melaka ini adalah sebuah destinasi pelancongan dan Pendidikan terkemuka di dunia.

Dahulu Melaka memang sudah terkenal sebagai pusat perdagangan tersohor dunia, sehingga digelar “Venice Of The East”. Sekarang, Kerajaan negeri mahu mengembalikan kegemilangan tersebut, bahkan lebih daripada itu. Tapi saya dengar khabar di Melaka sekarang sudah ada “Maldives Of Melaka” iaitu “Sungai Kesang di Sungai Rambai, yang waktu musim COVID-19 ini, airnya sungguh jernih. Tapi, hati-hatilah katanya ada buaya.

Walaupun perang Covid-19 belum berakhir, namun Alhamdulillah, seluruh negeri Melaka setakat ini telah mencatatkan trend penurunan dan berada dalam zon hijau. Kita tetap mengambil langkah sewajarnya dan mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan.

Jadi, saya nak menyeru kepada semua penjawat awam negeri supaya mempergiat promosi dalam usaha menarik lebih ramai pelancong tempatan.

Saudara dan saudari,

Majlis Amanat ini hanya permulaan sahaja. Banyak lagi yang sedang kita rancang dan perincikan. Kita ada bengkel, program, seminar, sesi percambahan fikiran, demi menyelesaikan masalah-masalah yang sedang dihadapi oleh rakyat, seperti petani, pekebun kecil, peniaga, penarik beca, penternak, nelayan, pekerja industri dan sebagainya.

Kita juga telah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Melaka bertujuan untuk menyediakan Pelan Pemulihan Ekonomi bagi membantu rakyat dan memulihkan ekonomi Melaka.

InsyaAllah kita juga sedang menyiapkan Pelan Pembangunan Hala Tuju Melaka Lestari, yang bersifat jangka pendek, jangka sederhana dan jangka Panjang.

Saudara dan saudari,

Apapun,

Kesidang Baunya Harum Bawa Nostalgia
Di Majlis Kurnia Bonda Taburkan
Melakaku Maju Jaya Rakyat Bahagia
Menggamit Dunia bersama kita Zahirkan.

Saudara dan saudari,

Seperti yang disebutkan di awal ucapan tadi, Melaka adalah antara 3 negeri tertinggi di Malaysia dalam pematuhan SOP. Mana taknya “orang macam nenek Sapiyah pun ‘gisau’ dengan Covid-19 ni”.

“Nek Sapiyah ada? mana nek Piyah? Dak Ayu Dak Senah, dan Dak Sapik ada tak hari ini?”

“Sekarang Nek Piyah tak perlulah terlalu bimbang lagi. Namun, langkah SOP tetap kita jaga selagimana masih dalam PKPP.”

Saudara dan saudari,

Kita sudah ada visi dan misi. Kita juga sudah ada enabler dan slogan negeri Melaka yang baharu. Jika misi kita menggunakan perkataan T.E.R.A.S. atau TERAS, maka pada hari ini kita perkenalkan tonggak 5K yang akan menjadi TERAS kepada penjawat awam di negeri ini, untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Pertama; Komunikasi di antara agensi dengan agensi Kerajaan Negeri Melaka, yang lain, perlu diperkemas dan dipertingkatkan lagi. Macam mana nak beri perkhidmatan dan penyampaian yang cekap lagi terbaik untuk rakyat, jika ada berlakunya “communication breakdown”.

Kedua; Kolaborasi. Kita mesti bekerja sepasukan dengan semua agensi di negeri Melaka. Kita perlu elakkan budaya kerja in silo atau dalam lohong masing-masing. Bak kata pujangga Inggeris, “if you want to walk fast then walk alone, but if you want to walk far then walk together”.

Ketiga; Koordinasi. Kadang-kadang servis kita lembab, bantuan lambat sampai kepada rakyat. Bukan kerana kita tak buat kerja, tetapi tiada koordinasi di antara sesama kita dalam agensi kerajaan. Justeru, kita mahu semua agensi di negeri Melaka pertingkatkan koordinasi sesama agensi.

Keempat: Kompetensi atau kecekapan dan kemampuan kita dalam menyelesaikan masalah rakyat dalam tempoh yang munasabah. Lebih cepat lagi bagus. Tapi, kalau cepat je, tidak berkualiti, tidak boleh juga. Apatah lagi sekarang kebanyakan perkhidmatan kerajaan sudah menggunakan online dan digital. Yang penting, segala perkhidmatan perlu ada impak langsung kepada rakyat.

Kelima adalah Kongsi matlamat bersama. Saya mahu semua agensi, seluruh kakitangan kerajaan di negeri Melaka berganding bahu dengan saya, kita dengar, kita belajar, kita prihatin, kita berjuang dengan memberikan perkhidmatan dan penyampaian yang terbaik untuk rakyat.

Ini KPI kita bersama!

Saudara dan saudari,

Saya baca dalam media sosial, saya dengar soksek-soksek sana sini. “Ade oghang Melake kabau kat saye. “Biau benau Tokleman ni, Kerajaan “federal” dah bagi ‘time’ Raye Puase” Kerajaan Melake bile lagi”. Saya faham. Walaupun cakap dia tu macam kahau (cakap kasar) sikit”.

Macam nilah, yang baik eloklah disegera, yang ditunggu sudah pun tiba. Bagi menghargai jasa dan penat lelah para penjawat awam khususnya frontliners, saya mengumumkan,

Bantuan khas kepada semua penjawat awam Kerajaan negeri Melaka berjumlah RM500.

Bantuan khas yang akan dibayar pada akhir Julai ini, bolehlah digunakan persediaan menyambut hari Raya Korban nanti.

(Minum air dulu)

Saudara dan saudari, penjawat awam negeri Melaka yang dikasihi sekalian,

Atas segalanya, bagai dimadah pantun orang Melaka,

Hajat berjasa menolong orang,
Dari Lendu ke Seri Bendahara,
Penjawat awam tulang belakang,
Menjadi rakan teman setia.

Lantas di akhir kalam ini, saya ingin mengajak semua untuk sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT.

BismilllahirRahmanirRahim,

Ya Allah Ya Tuhan kami,
Pagi ini, kami pohon doa, kami rayu keberkatan,
Kami pinta dipermudahkan segala urusan,

Ya Rahman Ya Rahim,
Kau limpahilah negeri ini dengan rezekiMu yang luas terbentang,
Kau kurniakan kebaikan dan kekuatan, dalam kami mendepani cabaran mendatang,

Ya Aziz Ya Ghaffar,
Yang kusut akan terurai,
Yang wabak, bala bencana akan terlerai,
Segala kesulitan akan jua terungkai,

Ya Allah Ya Zaljalali Wal Ikram,
Jadikanlah rakyat, warga watan ini, lebih berdaya usaha lagi bahagia,
Jadikanlah Melakaku ini negeri yang aman, penuh makmur lagi maju jaya sehingga menggamit dunia,

Perkenankanlah doa kami Ya Allah, Perkenankanlah! Perkenankanlah!

Amin Ya Rabbal A’lamin

Saudara dan saudari,

Dengan lafaz, BismillahirRahmanirRahim, sukacitanya saya merasmikan pelancaran Majlis Amanat ini, seterusnya slogan negeri yang baharu;

“Melakaku Maju Jaya, Rakyat Bahagia, Menggamit Dunia”

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

Views:

2821
Kongsi :
Previous post Jualan Proton melonjak pada Jun
Next post Anti sawit: Malaysian akan fail tindakan undang-undang terhadap EU
Ubah saiz-+=