Teladan Setia beli tanah bernilai RM117.89 juta di Melaka

0
1202

KUALA LUMPUR 6 Sept – Anak syarikat milik penuh Teladan Setia Group Bhd (Teladan Setia), Riverwell Resources Sdn Bhd, akan membeli lima bidang tanah berukuran kira-kira 136.91 hektar di Jasin, Melaka, dengan harga RM117.89 juta daripada Muhibbah Sdn Bhd.

Syarikat pembangunan hartanah yang berpangkalan di Melaka itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, cadangan pengambilalihan itu sejajar dengan strateginya menambah simpanan tanah di lokasi yang mempunyai potensi kukuh dan meningkatkan aktiviti pembangunan hartanahnya untuk menjana pendapatan mampan jangka panjang.

Kedekatan antara pembangunan sedia ada syarikat dan tanah-tanah tersebut akan membolehkan ia memanfaatkan penerimaan pembangunan sedia adanya serta ekonomi bidangan, kerana syarikat itu telah membuat pelaburan bagi jalan masuk dan infrastruktur pembangunan sedia adanya.

“Oleh itu, cadangan pengambilalihan itu memberikan prospek yang baik kepada syarikat kerana ia akan mengukuhkan pembangunan hartanahnya di Jasin,” kata Teladan Setia.

Teladan Setia berkata RM94.3 juta atau 80 peratus daripada bayaran pembelian dijangka dibiayai daripada pinjaman bank manakala baki lebihan RM23.6 juta atau 20 peratus akan dibiayai menerusi dana dalamam serta hasil daripada tawaran awam permulaan syarikat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.