Teliti mekanisme baharu atasi isu kesesakan Hospital Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

BANDARAYA MELAKA 29 Disember – Kerajaan Negeri akan menilai beberapa mekanisme baharu bagi mengatasi masalah kesesakan parkir di Hospital Melaka, kata Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Beliau berkata, perkara itu perlu diteliti semula berikutan cadangan sebelum ini iaitu menyediakan bas henti-henti daripada Syarikat Panorama Melaka Sdn Bhd tidak dapat direalisasikan berikutan pelbagai kekangan dihadapi syarikat terbabit.

Rentetan itu, katanya, Kerajaan Negeri sedang mendapatkan beberapa syarikat bas lain bagi menyediakan perkhidmatan berkenaan, selain turut mempertimbangkan pembinaan parkir bertingkat seperti di Hospital Selayang.

“Kita terkilan sebab baru sahaja menerima makluman yang agak lambat daripada Panorama Melaka yang tidak mampu untuk menyediakan perkhidmatan itu ekoran beberapa kekangan yang dihadapi.

“Jadi kita tidak boleh bergantung kepadanya dan Kerajaan Negeri akan mencari alternatif lain termasuk membina sebuah tapak parkir mekanikal yang bertingkat dengan mengambil contoh pembinaannya yang beroperasi di Hospital Selayang, Selangor.

“Kita akan ambil teknologi yang digunakan di Hospital Selayang untuk dibawa ke Hospital Melaka jadi kita akan cari kawasan yang sesuai dan bajet yang diperlukan untuk bina parkir bertingkat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Wayang Sekampung Merlimau diadakan di Pusat Beli Belah Mahkota Parade, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berkata, isu kesesakan di Hospital Melaka menjadi antara tumpuan utama berikutan parkir sedia ada, sukar untuk menampung kepadatan pelawat di hospital berkenaan.

“Kita akan cari alternatif lain lagi seperti baru-baru ini kita didatangi sebuah syarikat yang mencadang untuk menyediakan parkir valet di Hospital Melaka.

“Bagaimanapun bagi perkhidmatan itu kita perlu pastikan ia tidak menggunakan kawasan sekitar hospital malah ia perlu di luar kawasannya bagi mengelakkan kawasan hospital semakin padat.

“Kerajaan Negeri akan mencari pelbagai mekanisme lain bagi mengatasi masalah ini dan kita menjangkakan isu ini mampu diselesaikan sekitar bulan Mei tahun hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1908
Kongsi :
Previous post ’26 tahun tak tengok wayang’
Next post Resah bayi tiada deria rasa
Ubah saiz-+=