’26 tahun tak tengok wayang’

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BANDARAYA MELAKA 29 Disember – “Sudah lama tidak tengok wayang, kali terakhir pada 1996. Macam tak percaya selepas 26 tahun dapat ke pawagan semula,” kata Sarimah Dolmat, 43.

Sarimah bersama anaknya, Muhammad Adam Syawal Jalil, 9, antara kira-kira 100 asnaf dari Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau yang diraikan dalam Program Wayang Sekampung Merlimau di sebuah pusat beli-belah, di sini, malam tadi.

Hadir sama menemani dan meraikan asnaf berkenaan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Sarimah bersyukur diberikan peluang itu bersama anak bongsunya yang pertama kali menonton wayang lebih-lebih lagi filem animasi negara Mechamato merupakan watak yang digemari kanak-kanak itu.

“Terima kasih, dapat tengok wayang dan jamah ayam goreng. Terima kasih YB (Yang Berhormat) kerana belanjakan kami semua. Inilah permintaan anak yang saya tidak dapat tunaikan.

“Saya pula sudah lama tidak menonton wayang, kali terakhir ke pawagan adalah bersama bekas tunang ketika muda dahulu,” katanya.

Sarimah berkata, hampir setahun anaknya itu mengidam untuk menikmati makanan di restoran terbabit akhirnya ditunaikan.

“Sudah lama sangat dia minta, hampir setahun dia minta dan kali ini barulah kami dapat menikmatinya,” katanya.

Dia dan keluarganya juga tidak ke pusat beli-belah berkenaan dan hanya akan membeli pakaian sewaktu hari raya di kedai-kedai yang terletak di sekitar kediamannya di Merlimau.

“Kalau hari raya kita hanya ke sekitar Merlimau sahaja untuk mendapatkan keperluan dan membeli pakaian raya, memang tidak ke sini.

“Ditambah keadaan suami yang disahkan menghidap masalah jantung jadi pergerakan itu memang terbatas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2547
Kongsi :
Previous post Lelaki ‘bertelekung’ mengaku salah curi telefon bimbit jemaah wanita
Next post Teliti mekanisme baharu atasi isu kesesakan Hospital Melaka
Ubah saiz-+=