FB_IMG_1656034779311

Tembok penahan dibina elak runtuhan tebing Taman Muzaffar Shah

AYER KEROH 24 Jun – Pembinaan projek pembangunan berhampiran Taman Muzaffar Shah, di sini yang didakwa mengancam keselamatan penduduk taman berkenaan mengikut spesifikasi pembinaan ditetapkan.

EXCO Kemudahan Awam negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pihaknya bersama EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Zaidi Attan turun padang bagi meninjau permasalahan dihadapi kira-kira 500 penduduk taman berkenaan semalam.

Katanya, hasil lawatan itu pihaknya mendapati pemaju mengikut pelan asal kebenaran merancang dan ia telah diluluskan oleh semua agensi terlibat.

“Berkaitan ‘retaining wall’ atau tembok penahan yang dibina berhampiran tangki air, kaedah pembinaannya digunakan secara ‘soil nailing iaitu ‘piling’ secara menegak dan ia mengikut spesifikasi.

“Pembinaannya mengikut jarak lebih kurang dua meter setiap satu manakala kedalamannya enam hingga tujuh meter dan pihak pemaju telahpun memulakan pembinaan kaedah itu.

“Keadaan itu nampak agak bahaya kerana tembok penahan itu dibuat tinggi namun sebenarnya ia belum siap dan dibuat tiga tingkat bagi mengurangkan risiko tanah runtuh, jadi di sini ia tidak menimbulkan sebarang isu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga EXCO Kerja Raya dan Pengangkutan berkata perkara itu telah dijelaskan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Komuniti (JPKK) Taman Muzaffar Shah dan mereka berpuas hati dengan penerangan itu.

Malah katanya, pihaknya memohon agensi terlibat iaitu Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) untuk memantau pembinaan tembok penahan itu dan ketika membuat ujian (testing).

“Saya juga bawa pakar cerun iaitu Pengarah JKR sendiri bagi mengesahkan pembinaan itu selamat,” katanya.

Berkaitan pembinaan jalan masuk pembinaan projek yang didakwa turut menimbulkan kesesakan, Rahmad berkata, pembinaan lorong ACDC (aceleration and deceleration lane) atau lorong percepat dan pelambat mampu mengurangkan kesesakan di lampu isyarat simpang empat berhampiran Lebuh Ayer Keroh dan Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC).

“Apabila ia siap sebenarnya memudahkan laluan trafik daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Keroh dan pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan baharu di pembangunan baharu itu.

“Ia sekali gus mengurangkan trafik, cumanya lampu isyarat di simpang empat itu akan disemak semula dari segi penentuan masa (timing) dan akan dibuat sedikit pelarasan apabila jalan itu siap sepenuhnya,” katanya.

Selasa lalu, Melaka Hari Ini melaporkan runtuhan tebing dan hakisan tanah di taman berkenaan mengundang kebimbangan penduduk berikutan keadaan itu menghampiri kira-kira 80 kediaman penduduk dan tangki air.

Penduduk taman itu juga mendakwa projek pembangunan itu turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya selain berlaku kesesakan di lampu isyarat simpang empat terbabit.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

70
WhatsApp Image 2022-06-24 at 10.40.42 AM Previous post Tajuk-tajuk Utama Akhbar – Jumaat 24 Jun 2022
WhatsApp Image 2022-06-24 at 12.45.11 PM Next post Melaka tangga kelima negeri terima pelaburan tertinggi