Tenang berniaga selepas dapat lesen

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

KOTA LAKSAMANA 11 Jun – “Ada hikmah disebalik video berniaga tular, akhirnya saya dapat lesen berniaga,” kata peniaga nasi lemak viral Ramlan Abd Rahman, 44.

Ramlan berkata, dia dan isteri Rosyati Saleh, 46, tidak menyangka perniagaan nasi lemak mereka dipermudahkan apabila bukan sahaja menjadi tumpuan malah turut mendapat lesen penjaja daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Katanya, dia tidak menyangka MBMB akan mengeluarkan lesen dan lebih manis apabila ia diserahkan sendiri oleh Exco Kanan, Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin bersama Datuk Bandar Datuk Shadan Othman.

“Saya ucapkan terima kasih pada Datuk Bandar dan Exco kerana bagi lesen, langsung saya tidak sangka kerana sebelum ini mohon tidak dapat.

“Memang bersyukur sangat-sangat sebab sebelum ini ada cuba dua tiga kali tetapi tidak dapat, oleh itu saya tawakal dan teruskan berniaga,” katanya ketika ditemui di Pantai Eye On, di sini.

Menurutnya, selepas memiliki lesen penjaja dia dan isteri kini lega kerana tidak bimbang lagi apabila melihat kelibat van penguatkuasa MBMB melintasi gerai mereka.

“Sebelum ini MBMB ada datang tetapi allahamdulillah mereka cuma pantau sahaja walaupun begitu perasaan risau tetap ada sebaik ternampak van

“Sekarang ini rasa senang dan tenang berniaga selain tidak perlu risau lagi. Ada sekali sebaik sahaja nampak van MBMB kami terus masukkan barangkan niaga ke dalam kereta,” kata bapa kepada lima anak itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3337
Kongsi :
Previous post Pupuk budaya komuniti sihat
Next post Ibu pelajar cemerlang SPM meninggal dunia akibat angin ahmar
Ubah saiz-+=