Pupuk budaya komuniti sihat

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

SUNGAI UDANG 11 Jun – Membina upaya dan memupuk budaya hidup sihat dalam kalangan komuniti menjadi antara agenda diperjuangkan Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah (PKDMT).

Misi itu dibawa menerusi Inisiatif Komuniti Malaysia Sihat Madani dengan menyasarkan komuniti di daerah Melaka Tengah terlibat secara aktif sebagai ejen perubahan ke arah gaya hidup sihat.

Pegawai Kesihatan Daerah Melaka Tengah Dr. Noor Aizam Mohd Said berkata, menerusi inisiatif itu, pihaknya akan turun ke lokasi tertentu bagi memberi kesedaran kesihatan kepada orang ramai.

Pada masa sama, katanya, PKDMT turut memberi penekanan terhadap bahaya rokok dan vape bagi menangani ketagihan tembakau dalam kalangan masyarakat.

“Program julung kali ini kita adakan di Taman Terendak Permai yang merupakan komuniti aktif dan pernah menjadi johan Komunikasi untuk Perubahan Tingkahlaku (COMBI) Negeri Melaka.

“Pelbagai pengisian diadakan pada program selama setengah hari ini antaranya forum kesihatan, pameran dan saringan kesihatan kepada penduduk.

“Insya-Allah, kita sasarkan program ini diadakan secara berterusan bersama komuniti di Melaka Tengah, sekurang-kurangnya sekali pada setiap bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Inisiatif Komuniti Malaysia Sihat Madani dan Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2023 Peringkat Daerah Melaka Tengah di Taman Terendak Permai, di sini, hari ini.

IMG_20230611_120215
ANTARA pameran yang diadakan pada program tersebut.

Menariknya, pada program tersebut turut diadakan Explorace Mencari Jentik-jentik yang melibatkan golongan dewasa dan kanak-kanak.

Dr. Noor Aizam berkata, menerusi program tersebut, peserta akan dibahagikan mengikut kumpulan sebelum melakukan pencarian tempat pembiakan nyamuk Aedes.

“Kumpulan yang paling banyak menjumpai tempat pembiakan nyamuk akan mendapat markah dan hadiah turut kita sediakan sebagai galakan kepada peserta.

“Ini juga dapat menambah pengetahuan mereka terhadap bahaya denggi dan kepentingan menjaga persekitaran,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1320
Kongsi :
Previous post Cipta sabun dari minyak masak terpakai
Next post Tenang berniaga selepas dapat lesen
Ubah saiz-+=