Terap nilai KKP dalam kalangan pelajar – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 14 Okt. – Nilai kesedaran dan pendidikan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) perlu diterapkan khususnya buat pelajar yang memulakan sesi persekolahan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, ia perlu ditekankan dalam subjek seperti Reka bentuk Teknologi (RBT) dan kemahiran serta aktiviti kokurikulum melalui kelab-kelab dan persatuan berkaitan KKP.

“Sekolah-sekolah dah mula beroperasi, maka nilai-nilai KKP ini boleh mula diterapkan kepada pelajar melalui subjek seperti RBT, subjek-subjek kemahiran serta aktiviti kokurikulum melalui kelab-kelab dan persatuan berkaitan KKP.

“Manakala institusi pendidikan tinggi pula boleh ambil langkah yang serupa dalam mendidik para pelajar bagi memahami dan mempersiapkan diri untuk mengamalkan KKP tatkala memasuki alam pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan Webinar Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2025 (OSHMP25) dan perasmian Minggu KKP 2021 Peringkat Negeri Melaka di sebuah hotel, hari ini.

Hadir sama Exco Tenaga Kerja Datuk Wira Ismail Othman dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Zailee Dollah.

Sulaiman berkata, penerapan nilai KKP penting bagi memastikan semua majikan dan pekerja mendapat ilmu dan kemahiran yang mencukupi tentang KKP.

“Ini supaya terbentuknya amalan KKP yang baik pada semua peringkat termasuk paling asas yakni prasekolah atau tadika,” katanya.

Untuk rekod OSHMP25 adalah strategi dan program yang dirangka bagi melonjakkan tahap KKP negara ke peringkat yang lebih cemerlang.

Ianya bertujuan melindungi sumber manusia yang merupakan aset paling penting dan utama dalam menjayakan program pembangunan negara sekali gus merealisasikan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

488
Kongsi :
Previous post Pengamal media berkumpul di WTC
Next post Medan ikan bakar kembali jadi tumpuan pelanggan
Ubah saiz-+=