Terap unsur Islam dalam pentadbiran negeri- KM

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

BUKIT PALAH 23 Ogos – Penjawat awam di negeri ini diminta supaya menerapkan nilai-nilai murni Islam dalam sistem pentadbiran kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Sulaiman berkata, penghayatan nilai-nilai Islam itu adalah proses dinamik berterusan yang merupakan komponen penting dalam pekerjaan, pembangunan sahsiah diri, organisasi dan negara.

“Agama Islam menekankan akhlak Islamiah yang cukup cantik dalam kehidupan seharian, Islam sebagai sebuah agama rahmah harus dipamerkan kelunakannya kepada semua.

“Penghayatan dan amalan nilai-nilai Islam yang murni dalam pekerjaan perlu sentiasa ditingkatkan agar penjawat awam di Negeri Melaka dapat membina masyarakat yang berintegriti dan bertanggungjwab.

“Sebagai penjawat awam khususnya yang beragama Islam, perlu berusaha bersama membentuk satu ekosistem kehidupan yang penuh integriti, berprinsip dan bebas daripada rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Penghayatan Nilai-Nilai Islam Penjawat Awam Peringkat Negeri Melaka Tahun 2022 di Auditorium Masjid Al-Azim di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Wira Md Rawi Mahmud.

Hadir sama Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat.

Menurutnya, penganjuran seminar berkenaan bertujuan meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap amalan nilai-nilai murni agama Islam dalam perkhidmatan awam.

“Ia bagi melahirkan anggota perkhidmatan awam yang mempunyai kekuatan spiritual, intelektual dan emosi yang seimbang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1058
Kongsi :
Previous post Sanggup berhabis demi Jalur Gemilang
Next post 500 Jalur Gemilang hiasi Felda Hutan Percha
Ubah saiz-+=