Sorting by

×

Sanggup berhabis demi Jalur Gemilang

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

TANJUNG BIDARA 23 Ogos – “Sambutan Bulan Kemerdekaan umpama Hari Raya bagi saya dan keluarga. Setiap tahun kami akan hias kawasan rumah dengan tema tersendiri,” kata Alias Jani, 59.

Alias berkata, dia tidak lokek untuk menghabiskan wang gajinya demi membeli ribuan Jalur Gemilang kemudian digunakan untuk menghias persekitaran kediamannya di Kampung Seri Jeram, di sini.

Kakitangan Unit Kebersihan dan Kesihatan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) itu berkata, pada Ogos setiap tahun dia pasti menghias rumah pusaka milik isterinya Silah Baba, 59, dengan ribuan Jalur Gemilang.

“Pada kebiasannya kami sekeluarga bersama-sama menghiasi halaman rumah dengan Jalur Gemilang kerana bagi saya semangat untuk meraikan Bulan Kemerdekaan itu perlu ada dalam diri anak jati negara ini.

“Kami pasang sedikit demi sedikit sejak 1 Ogos lalu, Jalur Gemilang dibeli di kedai di pekan Masjid Tanah.

“Biarpun harga Jalur Gemilang naik sedikit, iaitu RM8 bagi sesaiz besar dan RM6 untuk set panji-panji bendera, saya sanggup berlanjakan sebahagian gaji atas dasar rasa cintakan negara,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

WhatsApp Image 2022-08-23 at 2.10.11 PM
RIBUAN Jalur Gemilang akan dipasang setiap tahun oleh Alias dan keluarganya.

Mengulas lanjut, Alias berkata, setakat ini lebih 1,000 Jalur Gemilang telah dipasang dan merancang akan memenuhkan setiap ruang di halaman rumah warisan lebih 100 tahun itu dengan lebih banyak bendera.

“Meskipun tidak ada pertandingan menghias rumah dianjurkan di kampung ini, saya tetap hias rumah dengan Jalur Gemilang. Kecuali tahun ketika pandemik, semua ini hanya semata nak tunjukkan semangat dan rasa syukur kami sebagai rakyat Malaysia yang tinggal di bumi merdeka.

“Saya nampak semangat patriotik sekarang semakin luntur, masih banyak premis belum kibarkan Jalur Gemilang, ini satu perkara yang mendukacitakan bagi saya. Mengapa perkara ini berlaku.

“Isu memasang bendera terbalik itu lebih membuatkan saya marah dan kecewa dengan sikap mereka yang seolah-oleh tidak tahu apa itu Jalur Gemilang,” luahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1349
Kongsi :
Previous post SWM bawa mesej cintakan negara dan alam sekitar
Next post Terap unsur Islam dalam pentadbiran negeri- KM
Ubah saiz-+=