Terengganu FC semakin merapat dengan JDT selepas tumpaskan Sri Pahang FC

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Terengganu FC (TFC) semakin hampir untuk merapatkan jurang mata dengan pendahulu carta Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) setelah menewaskan Sri Pahang FC 2-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi.

Skuad kendalian Mohd Nafuzi Zain membuka jaringan seawal minit ke-13 menerusi pemain import David Da Silva bagi meletakkan pasukan itu di depan.

AKSI MUFC menentang Penang FC. Foto – Melaka United Media.

Skuad Penyu tidak menunggu lama menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri dan Faisal Abdul Halim menambah jaringan pasukan tuan rumah pada minit ke-24.

Dengan kemenangan pada malam ini Skuad Penyu menduduki tangga kedua carta Liga Super dengan 37 mata di belakang JDT yang berada di kedudukan teratas dengan 42 mata.

Dalam aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras di sini menyaksikan Kuala Lumpur City FC membawa bekalan tiga mata penuh selepas menundukkan Petaling Jaya City FC 1-0 hasil jaringan Paulo Josue pada minit ke-31.

Sementara itu, pertemuan Penang FC menentang Melaka United berkesudahan dengan keputusan pasukan tuan rumah menang 2-1 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, malam ini.

Jaringan sulung pasukan tuan rumah pada minit ke-75 disumbang melalui sepakan penalti Rafael Vitor dan Sheriddin Boboev berjaya menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan sebelum perlawanan berakhir sementara gol tunggal Melaka United FC hadir menerusi Giovane Gomes pada minit ke-89.

SKUAD UiTM FC (jersi hitam) raih kemenangan sulung 2-0 ke atas Perak FC. Foto – FB UiTM FC.

Bagi aksi di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pula menyaksikan UiTM FC meraih kemenangan sulung Liga Super malam ini apabila menewaskan Perak FC, 2-0.

Gol dijaringkan Sean Gan Giannelli pada minit ke-29 sebelum Mohamad Shafiq Al-Hafiz Dawawi memastikan kemenangan pasukan tuan rumah menerusi jaringan pada minit ke-73.

Di Kuching dalam aksi Liga Premier, Sarawak United yang bertemu Kelantan FC menang 3-1 dalam aksi berlangsung di Stadium Negeri.

Perlawanan antara Selangor FC II dengan Perak FC II pula berakhir dengan keputusan 0-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Sementara aksi Johor Darul Ta’zim II (JDT II) menyaksikan pasukan itu berpesta gol menewaskan skuad Projek FAM-MSN 5-1 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1185
Kongsi :
Previous post Azizulhasni teruskan cabaran negara
Next post Azizulhasni mara ke peringkat akhir acara keirin
Ubah saiz-+=