Terima kasih cikgu

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

BATU BERENDAM 23 Ogos – Guru dianggap sebagai antara individu istimewa dan penting bagi Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Selepas hampir 50 tahun, Ab Rauf bersama 10 rakan sekelasnya di Sekolah Menengah Ghafar Baba (SMGB), melawat bekas guru Bahasa Melayu mereka, Patimah Abu Hasan, 80, di kediaman bekas pendidik itu di Batu Berendam, di sini, hari ini.

Ab Rauf berkata, kunjungan yang diadakan itu bertujuan untuk bertanya khabar, mengungkap rasa rindu dan membalas jasa seorang pendidik sehingga membentuknya menjadi seorang pemimpin hari ini.

“Alhamdulillah, terima kasih Cikgu Patimah yang banyak mendidik saya dan rakan sekelas sehingga ramai yang melakar kejayaan hari ini. Terima kasih cikgu saya doakan cikgu dirahmati Allah, hasil didikan cikgu selama ini, semoga Allah membalas nikmat syurga diatas jasa yang dicurahkan.

“Banyak kenangan yang tidak dapat saya lupakan hasil tunjuk ajar Cikgu Patimah. Beliau sentiasa tegas dan tidak bertolak ansur jika anak muridnya malas,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, antara kenangan sepanjang bersama Cikgu Patimah adalah didenda berdiri atas kerusi dan berlari keliling padang.

Namun baginya, apa yang dilakukan Cikgu Patimah adalah untuk mendidik anak murid agar menjadi manusia yang berguna.

Terdahulu, Ab Rauf yang tiba sekitar jam 6 petang disambut rakan dan ahli keluarga Cikgu Patimah meluangkan masa hampir sejam di kediaman itu.

Sejambak bunga dan juadah kuih serabai menjadi buah tangan buat guru kesayangannya itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1129
Kongsi :
Previous post Kedai tayar terpakai tempat pembiakan jentik-jentik dikompaun
Next post ‘Megah anak murid jadi Ketua Menteri’
Ubah saiz-+=