Terlalu bincangkan tarikh PRU15 ganggu kestabilan politik negara – PM

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Tindakan terlalu membincangkan bila Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu diadakan akan memberi kesan kepada kestabilan politik negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata tindakan itu juga akan menjejaskan tumpuan kerajaan terhadap menyelesaikan pelbagai isu dihadapi rakyat termasuk berkaitan kenaikan harga barang yang dipengaruhi ekonomi global.

“Politik negara masih stabil, kita sekarang tumpu kepada pulihkan ekonomi termasuk kenaikan harga barangan dan (isu) bekalan yang kini merupakan fenomena global.

“Kalau terlalu bincang bila PRU15, ia akan memberi kesan kepada kestabilan politik. Kita akan bincang soal ini (PRU15) lebih daripada soal urus negara,” katanya pada sidang media selepas menaiki Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu dari Stesen Kampung Batu ke Stesen Sri Damansara Sentral di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun masalah ekonomi merupakan isu global, namun kerajaan mahu memberi tumpuan terhadap isu itu supaya kesan kepada negara tidak terlalu teruk.

Ismail Sabri mengulangi kenyataan bahawa tiada mana-mana perdana menteri akan membincangkan tarikh pilihan raya secara terbuka.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata satu pertemuan dengan Datuk Zuraida Kamaruddin akan diadakan minggu depan bagi membincangkan kedudukan bekas pemimpin Bersatu itu sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Ismail Sabri berkata setakat ini jawatan Zuraida masih kekal sehingga beliau sendiri mengesahkan berhenti daripada Kabinet atau diberhentikan.

“Setakat ini Zuraida kekal sebagai menteri dan bertugas seperti biasa. Semalam, dia masih menghadiri mesyuarat Kabinet,” kata perdana menteri.

Ismail Sabri berkata beliau juga telah memaklumkan perkara itu kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan akan berjumpanya selepas pertemuan dengan Zuraida.

Selasa lepas, Muhyiddin berkata pihaknya menunggu untuk mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri bagi membincangkan kedudukan Zuraida yang pada 26 Mei mengumumkan keluar daripada Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Zuraida dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 pada Mei 2018 oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad dan dilantik semula ke jawatan sama semasa pentadbiran Muhyiddin.

Beliau dilantik ke portfolio Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi selepas Ismail Sabri memegang jawatan perdana menteri.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1491
Kongsi :
Previous post Penglibatan wanita dalam keusahawanan teknikal perkasa agenda TVET negara
Next post Gadis ‘introvert’ popular di TikTok bukti usahawan digital berjaya
Ubah saiz-+=