Penglibatan wanita dalam keusahawanan teknikal perkasa agenda TVET negara

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

Oleh: Rabiah Osman

DURIAN TUNGGAL 16 Jun – Konsep Keusahawanan Teknikal yang julung kali diketengahkan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada Konvesyen Keusahawanan Teknikal Wanita (WTC) 2022 dilihat seiring dengan hasrat kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi memperkasa sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam ucapannya berkata, penglibatan kaum wanita khususnya dalam bidang itu berupaya menjadi pemangkin dalam melahirkan lebih ramai usahawan wanita.

Malah ujarnya, mengikut rekod, jumlah perniagaan pemilikan wanita di negara ini merangkumi 20.6 peratus atau 186,855 daripada jumlah keseluruhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sekali gus menyumbang sebanyak RM69.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan membuka hampir 800,000 peluang pekerjaan.

Manakala mengikut rekod dari sudut teknikal, pada tahun 2021, penyertaan kaum wanita dalam bidang profesional dan teknikal adalah 41.5 peratus berbanding 58.5 peratus kaum lelaki.

Sementara itu, katanya, seramai 6,457 graduan wanita berjaya dikeluarkan oleh Malaysian Technical University (MTUN) pada November 2021, iaitu dengan peningkatan sebanyak 0.14 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Justeru ujarnya, ia menunjukan indikatif positif kepada kerajaan dan pihak berkepentingan lain dalam usaha merancang dan menentukan hala tuju strategik pembangunan graduan TVET di negara ini.

Pada Majlis itu, Noraini turut merasmikan Konvensyen WTC yang turut dihadiri EXCO Hal Ehwal Wanita Negeri, Datuk Kalsom Nordin, Naib Canselor UTeM, Prof Dr Massila Kamalrudin dan lain-lain kenamaan.

Kira-kira lebih 1,000 tetamu hadir pada program berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1522
Kongsi :
Previous post Rajin bertanya, urus masa rahsia peroleh A+
Next post Terlalu bincangkan tarikh PRU15 ganggu kestabilan politik negara – PM
Ubah saiz-+=