Rajin bertanya, urus masa rahsia peroleh A+

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

BUKIT BARU 16 Jun – Meskipun berdepan kesukaran memberi perhatian penuh ketika sesi pembelajaran dalam talian itu tidak dijadikan alasan buat bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Francis, Ian George Taye Cheng Ean, 18, memperoleh keputusan 9A+.

Ian, antara dua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Melaka dari Sekolah Kementerian Pendidikan yang memperoleh kesemua A+ bagi subjek diambil.

Menurut anak tunggal kepada doktor dan ahli farmasi itu, bagi memastikan dirinya tidak ketinggalan dalam sesuatu mata pelajaran yang tidak faham, dia akan menghubungi guru-guru bagi mendapatkan penerangan yang jelas.

“Saya rasa ramai yang berdepan situasi seperti saya kerana pandemik kita tidak dapat ke sekolah dan hanya menghadiri kelas dalam talian sahaja.

“Jadi fokus untuk berinteraksi itu sedikit terganggu dan terhad. Jadi selepas kelas saya akan ulang kaji, sekiranya masih tidak faham saya akan hubungi guru,” katanya yang ditemui pada Majlis Apresiasi SPM 2021 Melaka di Jabatan Pendidikan Negeri Melaka hari ini.

Dia yang bercita-cita menjadi ahli matematik dan pernah mewakili Malaysia pada International Mathematical Olympiad (IMO) berkata, kejayaan diperolehnya itu juga adalah hasil dorongan ibu bapa dan guru.

“Awalnya tidak sangka juga akan peroleh semua A+ kerana pada percubaan hanya dapat 7A+ 2A sahaja. Ibu dan ayah memang gembira apabila lihat keputusan hari ini,” katanya yang kini sedang menyambung pengajian di peringkat A Level.

PELAJAR cemerlang SPM 10A+, Lim Yuan Pei ditemui sempena Majlis Apresiasi SPM 2021 Melaka di Jabatan Pendidikan Negeri Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Bagi seorang lagi calon Lim Yuan Pei, 18, yang memperoleh 10A+ berkata, pengurusan masa amat penting, jika tidak banyak tugasan dan masa mengulang kaji akan terganggu.

“Sehari paling lama saya akan habis masa selama empat jam untuk mengulang kaji pelajaran dan selepas itu akan berehat seketika atau menonton televisyen bagi tenangkan minda.

“Sikap rendah diri dan sering bertanya kepada guru serta kawan juga banyak membantu kerana dari situ kita akan lebih faham dan ingat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2334
Kongsi :
Previous post Melaka Education Expo’22 sedia terima pengunjung
Next post Penglibatan wanita dalam keusahawanan teknikal perkasa agenda TVET negara
Ubah saiz-+=