Terlalu penat, doktor meninggal dunia ketika ‘perangi’ COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 20 Jan. – Negara kehilangan seorang wira Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertugas di barisan hadapan menentang virus COVID-19 kelmarin.

Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) memaklumkan berita sedih itu menerusi hantaran di Facebook (FB) rasminya malam tadi.

“Kami baru menerima khabar kematian Almarhum Dr Ali Noor Hassan melalui laman Facebooknya. Arwah merupakan ahli berdaftar SPJM dan telah mengikuti SPJM sejak tahun 2018 serta menyertai Kursus Pengurusan Jenazah SPJM di Surau Quba Sentul dua tahun lepas.

“Ini gambar terakhir beliau yang sempat diambil oleh rakannya sebelum beliau jatuh sakit kerana beban kerja terlalu penat dan letih, selain kekurangan masa untuk beristirehat setelah bertugas di barisan hadapan KKM menangani Covid-19.

“Beliau tertidur ketika bertugas dan pengsan,” kongsi hantaran itu yang mendapat lebih 1,600 reaksi, 450 perkongsian dan 350 komen netizen.

SPJM turut memaklumkan Dr Ali juga dikhabarkan seorang ahli khidmat dakwah dan sudah dua kali menyertai ijtimak atau perhimpunan jemaah tabligh di Beaufort, Sabah.

“Setiap kali Ijtimak besar jemaah tabligh di Sabah, Dr Ali akan datang dari Selangor berkhidmat secara sukarela sebagai petugas perubatan bagi peserta ijtimak.

“Sekali lagi SPJM kehilangan seorang ahli yang begitu komited berkhidmat untuk ummah selepas pemergian Pengerusi SPJM Negeri Kedah, Tn. Hj. Habibullah pada hari Jumaat lepas

“Semoga Allah SWT menerima segala amal kebajikan beliau dan mengampuni segala dosanya yang lampau. Salam takziah buat ahli keluarganya,” katanya.

Turut dikongsi dalam hantaran itu adalah gambar terakhir Dr Ali sedang bertugas lengkap dengan pakaian pelindung diri (PPE) yang sempat diambil rakannya sebelum beliau jatuh sakit dipercayai akibat beban kerja dan kekurangan masa untuk berehat dalam menangani COVID-19.

Views:

1431
Kongsi :
Previous post Kan dah kena cekup!
Next post Jalan utama di Paitan terputus akibat tanah runtuh
Ubah saiz-+=