Teroka sumber baharu baitulmal – KM

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BANDARAYA MELAKA 8 Mac – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, mahu sumber dan agihan menerusi baitulmal di negeri ini disalurkan secara adil serta saksama tanpa sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak.

Kata Ketua Menteri Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) selaku induk dalam tadbir urus baitulmal dan pengagihan zakat juga perlu melakukan perancangan dalam pembangunan produk-produk wakaf.

Ab Rauf berkata, perancangan itu perlu memberi kesan agar dapat dimanfaatkan dan diseimbangkan daripada aspek pengagihan selaras dengan konsep wakaf itu sendiri.

“Memandangkan sumber perolehan baitulmal sering kali dikaitkan dengan sumber kewangan harta bersifat tradisional seperti zakat dan wakaf, maka penerokaan terhadap sumber baitulmal ini haruslah dipergiatkan.

“Kajian dan perbincangan lanjut bersama pihak-pihak berkaitan bagi penerokaan produk-produk baharu sebagai sumber pendapatan baitulmal perlu dilaksanakan.

“Kerajaan Negeri Melaka setakat ini mempunyai sebanyak 12 produk baitulmal antaranya, penebusan harta pusaka bahagian baitulmal, bayaran fidyah, terimaan harta luqatah dan sebagainya,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Baitulmal Kebangsaan Tahun 2024 yang bertemakan ‘Melestarikan Baitulmal, Merintis Malaysia Madani’ di sebuah hotel di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis itu Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Datuk Selamat Paigo.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) Dr. Ridzwan Bakar serta Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah.

Ab Rauf berkata, antara 30 produk yang boleh dijadikan sumber dana baharu bagi baitulmal adalah seperti wang tidak dituntut milik umat Islam, kebiasaannya diserahkan kepada Pendaftar
Wang Tak Dituntut (PWTD), wang syubhah atau haram hasil daripada sumber pengajian atau perniagaan tidak halal dan sebagainya.

“Harta orang mafqud, pengurusan wasiat dan hibah yang pada ketika ini banyak didominasi oleh peguam-peguam dan agensi pengurusan harta umat Islam swasta,” kata Ketua Menteri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

601
Kongsi :
Previous post Melaka FA tidak sertai Liga Super 2024, fokus pasukan pembangunan
Next post Jenama semula produk baitulmal – KM
Ubah saiz-+=