Jenama semula produk baitulmal – KM

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

BANDARAYA MELAKA 8 Mac – Produk baitulmal perlu dijenamakan semula, sekali gus menarik minat lebih ramai umat Islam untuk memahaminya dengan lebih mendalam, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut mengenai cadangannya itu, Ab Rauf berkata, ketika ini mungkin sebahagian besar anggota masyarakat menganggap produk-produk baitulmal tidak setaraf dengan apa yang ditawarkan oleh bank-bank komersil atau syarikat amanah swasta.

Ab Rauf berkata, akibatnya orang ramai beralih kepada bank komersil dan syarikat amanah swasta, sedangkan perkara yang sama boleh dilakukan oleh baitulmal selaras dengan kehendak serta syariat agama Islam.

“Saya percaya, Majlis Agama Islam Negeri di Malaysia ini telah sedia ada memberikan perkhidmatan berkaitan produk-produk tersebut.

“Namun saya berpandangan ia perlu dikembangkan ke seluruh negara bagi tujuan keseragaman dan keselarasan selain sebagai pemudah cara untuk kebolehcapaiannya,” kata Ketua Menteri ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Baitulmal Kebangsaan Tahun 2024 yang bertemakan ‘Melestarikan Baitulmal, Merintis Malaysia Madani’ di sebuah hotel di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis itu Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Datuk Selamat Paigo.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) Dr. Ridzwan Bakar serta Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah.

Beliau, menaruh keyakinan baitulmal pasti akan terus berkembang dan mampu menjadi pemangkin pembangunan sosio-ekonomi ummah.

“Resolusi diputuskan dalam konvensyen ini diharap dapat diangkat dan seterusnya diterjemahkan dengan tindakan pelaksanaan agar hasrat murni kita untuk melestarikan institusi keramat baitulmal direalisasikan,” kata Ketua Menteri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

525
Kongsi :
Previous post Teroka sumber baharu baitulmal – KM
Next post Melaka rancakkan usaha perangi jenayah siber
Ubah saiz-+=