Melaka rancakkan usaha perangi jenayah siber

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

SERI NEGERI 8 Mac – Jawatankuasa Curi Dalam Talian Internet Fraud dan Jenayah Siber ditubuhkan di Negeri Melaka bagi memerangi isu jenayah siber yang semakin berleluasa.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, cadangan penubuhan itu telah dipersetujui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Oktober lalu dengan kerjasama beberapa jabatan dan agensi terlibat.

Beliau berkata, peranan jawatankuasa terbabit akan melancarkan kempen kesedaran di peringkat awam bagi menyebarkan kesedaran keselamatan siber, risiko penipuan dalam talian dan langkah pencegahan kepada rakyat daripada terus menjadi mangsa penipuan.

“Jawatankuasa ini merupakan sebuah inisiatif yang ditubuhkan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penerangan negeri, Jabatan Pendidikan negeri, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Kerjasama ini dibentuk untuk menyelaras usaha kesedaran agar setiap lapisan masyarakat memahami secara langsung tentang kesedaran jenayah siber dan perlu bertindak proaktif untuk melindungi diri mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, semalam.

Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata, kes membabitkan jenayah siber di seluruh negara dan Negeri Melaka khususnya meningkat pada setiap tahun.

“Untuk tahun 2022, jumlah kes jenayah ini dicatatkan di Melaka adalah sebanyak 1,154 manakala pada tahun lalu menunjukkan peningkatan kepada 1,354 yang melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM38.5 juta.

“Sebanyak 313 kertas siasatan telah dibuka berkenaan kes jenayah penipuan kewangan scam di Melaka, dan berdasarkan perbandingan kes kerugian dan tangkapan kes jenayah siber dalam talian dalam tempoh dua tahun itu direkodkan meningkat.

“Manakala bagi modus operandi lain iaitu ‘love scam, ‘phone scam’ dan tawaran kerja tidak wujud mencatatkan penurunan,” katanya.

Beliau berkata, jenayah itu berlaku tanpa mengira kaum, peringkat umur dan pekerjaan, bahkan ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1771
Kongsi :
Previous post Jenama semula produk baitulmal – KM
Next post Pemandu lori didakwa bunuh teman wanita warga Thailand
Ubah saiz-+=