Terowong dasar laut pemangkin lonjakan ekonomi negeri

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

KOTA LAKSAMANA 8 April – Terowong dasar laut yang menghubungkan Melaka ke Dumai, Indonesia bakal menyaksikan pertumbuhan ekonomi negeri diperkukuhkan sekali gus melonjakkan kemajuan negeri pada masa depan.

EXCO Pelaburan negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, hasrat kerajaan negeri itu bagi pembinaan terowong itu adalah melengkapkan konsep ‘One Belt One Road’ (OBOR) yang diilhamkan kerajaan China pada 2013 untuk menghubungkan keseluruhan rantau Asia.

Katanya, selaras dengan konsep itu, Melaka adalah negeri strategik untuk menghubungkan sebahagian besar nusantara itu dalam konsep negara Asia Tenggara.

“Sehingga lengkap jambatan itu maka hubungan antara negara Asia Tenggara akan jadi jalan penghubung terbaik untuk kemajuan negeri Melaka itu sendiri dan keadaan ekonomi serantau yang akan dijana daripada pembinaan lebuh raya itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra dan Iftar Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Melaka di sini.

AB Rauf ketika berucap pada pada Majlis Ramah Mesra dan Iftar Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Melaka di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata bagi peringkat kerajaan negeri, inisiatif yang dibawa oleh syarikat swasta itu kini dalam proses untuk penelitian Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).

“Setakat ini kita menerima pandangan dan sokongan terbaik daripada kerajaan Pusat, cuma kita sedang melengkapkan beberapa lagi ‘database’ untuk dibentangkan kepada kerajaan Indonesia.

“Sekiranya, kerajaan Indonesia berikan ‘lampu hijau’ untuk menjalin kerjasama, in sha Allah kita akan memulakan semua kerja permulaaan sama ada kajian, perundingan atau perbincangan dengan World Maritime Services yang merentasi Selat Melaka dalam masa terdekat,” katanya.

Ab Rauf berkata, setakat ini kerajaan negeri masih menunggu waktu sesuai untuk mengadakan rundingan berhubung perkara itu dengan kerajaan Indonesia bagi membentangkan konsep terowong atau jambatan terbabit.

Jelasnya, lebuh raya yang menghubungkan antara Melaka dan Dumai, Indonesia dijangka mengambil jarak kira-kira 47 kilometer dan ia akan diusahakan oleh sebuah syarikat dalam kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

“Hubungan antara Melaka dan Indonesia itu bukan terowong sepenuhnya sebaliknya merangkumi 20 peratus jambatan di sempadan Melaka.

“Enam puluh peratus lagi adalah terowong yang mana dianggarkan sejauh 22 kilometer yang mana (jarak terowong) dibahagikan dua negara.

“Ia mesti berbentuk terowong berikutan kawasan itu merupakan laluan perdagangan, maka ‘tunnel is the best solution’ (terowong adalah penyelesaian terbaik),” katanya.

Pada 14 Mac lalu, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman ketika berucap pada Pelancaran Melaka Week di Expo 2020 Dubai berkata kerajaan negeri merancang untuk membina terowong bagi rangkaian sistem rel yang menghubungkan Melaka dan Dumai.

Katanya, perancangan jangka panjang itu akan dibina merentasi Selat Melaka yang mengambil jarak antara Dumai dan Melaka sejauh 47 kilometer.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

720
Kongsi :
Previous post Panggung Perpatih Melaka promosikan budaya dua adat
Next post Polis tahan lima lelaki tawar pinjaman wang tanpa lesen
Ubah saiz-+=