Panggung Perpatih Melaka promosikan budaya dua adat

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

ALOR GAJAH 8 April – Balai Adat Istiadat Perkahwinan Melayu Melaka yang kini dikenali sebagai Panggung Perpatih Melaka akan terus diperkasakan sekali gus mempromosikan adat Perpatih dan Temenggung di negeri ini.

EXCO Pelancongan, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, pelbagai aktiviti menarik sedang dirancang di bangunan berkenaan yang kini dilengkapi kemudahan restoran.

Beliau berkata, restoran itu memperkenalkan pelbagai jenis hidangan gabungan adat Perpatih dan Temenggung yang bakal menarik minat lebih ramai pelancong melawat mengunjungi tempat menarik di luar bandar.

“Banyak lagi tradisi akan diperkenalkan, bagi kawasan Alor Gajah ini berada dalam wilayah Naning.

“Antara aktiviti menarik dirancang tidak lama lagi adalah majlis perkahwinan berkelompok yang memperkenalkan adat dan budaya tradisional Melayu Melaka.

“Kita berharap bangunan ini akan menjadi tarikan penting di bandar Alor Gajah. Kita tidak boleh biarkan permata ini begitu sahaja,” katanya.

PENGUNJUNG menikmati bufet ramadan di bawah khemah dalam keadaan selesa dan santai.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pra Pelancaran Panggung Perpatih Melaka di Dataran Keris, di sini, semalam.

Muhammad Jailani berkata, bufet Ramadan menawarkan pelbagai juadah dan lauk pauk hasil gabungan adat Perpatih dan Temenggung di Melaka antara langkah awal untuk menjayakan usaha dirancang.

“Pengunjung boleh nikmati pengalaman makan bersila seperti tradisi Melayu dulu di bangunan rumah ibu dan anak ini.

“Lebih 30 hidangan daripada dua adat di negeri disajikan sekali gus memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai keunikan makanan di Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2529
Kongsi :
Previous post Gerai di bazar Ramadan antara dikenakan kompaun dalam operasi Jabatan Kesihatan
Next post Terowong dasar laut pemangkin lonjakan ekonomi negeri
Ubah saiz-+=