DUN Merlimau: Tiada baju raya boleh jumpa saya – Dr Akmal

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

MERLIMAU 9 April – “Mana-mana individu dalam kalangan anak asnaf, anak yatim atau kurang berkemampuan boleh mengisi borang melalui aplikasi ‘Google’ disediakan untuk mendapatkan sumbangan baju raya,” kata Dr Muhamad Akmal Saleh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, itu berkata, inisiatif dijalankan bertujuan membantu anak parlimen Jasin khusus berusia 17 tahun ke bawah menyambut Aidilfitri dengan baju baharu.

“Saya mohon pertolongan daripada semua, seperti tahun yang sudah insyaAllah kita akan bawa anak-anak yatim, asnaf dan kurang mampu untuk ‘shopping’ (beli) baju raya di Jakel Melaka pada 24 April ini.

“Jadi pada mana-mana individu mengenali ataupun menjaga anak-anak yatim, asnaf ataupun kurang berkemampuan tinggal dalam DUN Merlimau mohon maklumkan pada saya melalui ‘google form’ yang disediakan.

“Kerana senarai yang ada di dalam simpanan ini kami takut ada nama anak-anak yang memerlukan tetapi tercicir,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya, semalam.

Dr Akmal berkata usaha itu sebagai tanda berkongsi rezeki dan kegembiraan bersama golongan memerlukan biarpun nilainya kecil.

“Raya yang mendatang ini, saya nak kita berkongsi rezeki dan juga kegembiraan bersama…walaupun kecil bagi kita tetapi besar buat mereka.

“InsyaAllah saya cuba sehabis daya dan baik saya untuk membantu anak-anak yang memerlukan ini kerana apalah ertinya hari raya bagi saya jika ada anak-anak di bawah tanggungjawab saya tidak mampu untuk bergembira sama seperti yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Akmal berkata inisiatif itu turut membabitkan anak-anak dalam Parlimen Jasin di DUN Serkam, Sungai Rambai, Rim dan Bemban.

“Jika anda mengenali anak-anak yatim, asnaf dan kurang kemampuan di dalam DUN Serkam, Sungai Rambai, Rim dan Bemban boleh masukkan sekali nama di dalam borang google form yang disediakan.

“Atau boleh berhubung dengan mana-mana Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin dan Ketua Pemuda Cawangan UMNO yang anda kenali untuk mendaftarkan nama anak-anak ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

944
Kongsi :
Previous post Baru 6 hari, peniaga bazar Aidilfitri Melaka sudah pulang modal
Next post Terima kasih kepada semua – Abdul Qahhar
Ubah saiz-+=