Tiada insiden serbu pasar raya di Melaka

0
550

KLEBANG 12 Jan. – Tiada insiden orang ramai menyerbu pasar raya bagi membeli barangan keperluan dikesan di negeri ini, di sebalik pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di sebuah pasar raya di Klebang mendapati situasi terkawal dengan jumlah pengunjung masih berada di tahap biasa.

Setakat jam 12 tengah hari, tiada kelibat pengunjung yang melakukan pembelian panik dan memenuhi troli mereka dengan pelbagai barangan makanan dan keperluan asas.

Situasi terkawal turut dilihat di sebuah lagi pasar raya di Pokok Mangga yang menerima jumlah kehadiran pengunjung seperti biasa.

Antara barangan keperluan mendapat pemintaan tinggi pengguna termasuk susu segar selain barangan mentah seperti ayam dan ikan.

KEADAAN terkawal di bahagian barangan basah di sebuah pasar raya di Klebang.

Bagaimanapun, ia tidak langsung menunjukkan bakal berlakunya masalah memandangkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri memberi jaminan stok bekalan keperluan asas mencukupi.

Tinjauan juga menunjukkan perbezaan ketara berbanding ketika PKP pertama Mac lalu dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diumumkan sebelum ini.

Jika dahulu orang ramai memilih untuk bersesak-sesak di pasar raya bagi membeli stok makanan dan keperluan asas, kali ini, mereka dipercayai sudah belajar sesuatu daripada pengalaman lalu.

Bolehlah disimpulkan orang ramai kini mula peka dan lali dengan situasi sepanjang musim pandemik COVID-19.