Dua lelaki didakwa rogol dua kanak-kanak diberkas

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER KEROH 12 Jan. – Polis memberkas dua lelaki bagi membantu siasatan kes rogol dan cabul dua kanak-kanak perempuan dalam dua kejadian berasingan semalam dan Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, berkata kejadian pertama membabitkan mangsa murid sekolah berusia 12 tahun yang mendakwa dirogol lelaki dikenali kira-kira jam 5.30 petang Ahad lalu.

Manakala dalam kejadian berasingan semalam katanya, mangsa pelajar Tingkatan Dua mendakwa dirogol lelaki dikenali kira-kira jam 1.50 petang.

“Kedua-dua mangsa yang tidak mengenali antara satu sama lain itu sebelum ini dilaporkan telah keluar dari rumah keluarga pada 8 Januari dipercayai mengikut teman lelaki sebelum dijumpai semula Ahad lalu.

“Hasil soal siasat ke atas kedua-dua mangsa yang masih bersekolah, kedua-duanya mendakwa telah dirogol termasuk mangsa kedua turut dicabul lelaki yang dikenali dalam dua kejadian berasingan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, bertindak berdasarkan maklumat diperolehi, sepasukan polis menahan dua lelaki di dua buah premis berasingan kira-kira jam 11 malam tadi bagi membantu siasatan.

“Kedua-dua suspek berusia 23 dan 28 tahun ditangkap ketika sedang bekerja di sebuah kilang di Simpang Ampat manakala seorang lagi di rumahnya di Alor Gajah.

“Kedua-dua suspek yang tidak mengenali antara satu sama lain turut memiliki rekod lampau berkaitan dadah,” katanya.

Mohd Sukri berkata, sehubungan itu kedua-dua suspek masing-masing berasal dari Kedah dan Sabah kini direman untuk siasatan dan pendakwaan di mahkamah.

“Suspek akan dituduh mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan rogol dan sabit kesalahan
boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta boleh juga dikenakan sebatan,” katanya.

Mengulas lanjut Mohd Sukri berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 54 kertas siasatan kes rogol telah dibuka berbanding 21 kertas siasatan pada tahun 2019, meningkat sebanyak 33 kes berbanding tahun sebelumnya.

“Bagi statistik perbandingan kes rogol untuk tahun 2020 dan tahun ini juga juga telah menunjukkan peningkatan sebanyak tiga kes.

“Hanya satu kes rogol yang dibuka kertas siasatan pada 1 Januari sehingga 11 Januari 2020 berbanding empat kertas siasatan dibuka dalam tempoh sama tahun ini,” katanya.

Tambahnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka memandang serius ke atas jenayah terutamanya yang melibatkan kes rogol dan akan mengambil tindakan tegas ke atas pesalah-pesalah tersebut.

Views:

1075
Kongsi :
Previous post Tiada insiden serbu pasar raya di Melaka
Next post Empat beranak antara tujuh didenda RM3,000 kerana merusuh
Ubah saiz-+=