Empat beranak antara tujuh didenda RM3,000 kerana merusuh

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

MACHAP JAYA 12 Jan. – Tujuh lelaki masing-masing didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Alor Gajah di sini, hari ini atas pertuduhan merusuh dan mencederakan seorang anggota polis pada 8 Januari lalu.

Tertuduh adalah, Md Yusof Husin, 59, dan tiga anak lelakinya, Muhammad Ali Nijam, 20, Muhammad Zahir, 27, dan Muhammad Sabeerin, 29, serta tiga lagi individu iaitu Mohd Aidel Md Yusop, 31, Muhammad Noor Azroy Md Sharif, dan Muhammad Rozaimi Hasim, masing-masing 28.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan rusuhan dan mendatangkan kecederaan kepada seorang Koperal G Ramanan pada 8 Januari lalu, kira-kira jam 8.10 malam di tepi jalan besar, Simpang Tiga Ayer Pasir, Macap baru.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 34 akta sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Majistret Nurhasmanita Abdul Manap dalam penghakimannya itu menetapkan setiap tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal bayar membayar denda itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, SR. Arthana meminta hukuman berat dikenakan terhadap kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Mohd Aidel dan Muhammad Sabeerin mengaku bersalah terhadap pertuduhan berasingan mencederakan Ramanan ketika anggota polis itu menjalankan kewajipannya sebagai anggota pasukan keselamatan pada masa dan tempat yang sama.

Bagaimanapun, tiga lagi rakannya, Muhammad Al Nijam, Muhammad Noor Azroy dan Muhammad Zahir minta dibicarakan.

Semua mereka didakwa mengikut Seksyen 322 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mohd Aidel dan Muhammad Sabeerin didenda RM3,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Sebutan semula kes terhadap Muhammad Al Nijam, Muhammad Noor Azroy dan Muhammad Zahir yang masing-masing dibenarkan diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin, ditetapkan pada 19 Februari depan.

Views:

467
Kongsi :
Previous post Dua lelaki didakwa rogol dua kanak-kanak diberkas
Next post Lebih 50 peratus tempahan hotel dibatalkan saat akhir
Ubah saiz-+=