Bersama putuskan rantaian COVID-19 – KM

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 12 Jan – “Kalau kita kasihkan negeri kita, mahu melihat semula sektor pelancongan serta aktiviti ekonomi Melaka terus berjalan, inilah masanya kita sama-sama putuskan rantaian (COVID-19) daripada menular.”

Itu rayuan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali kepada rakyat di negeri ini menjelang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di Melaka, esok sehingga 26 Januari ini.

Beliau berkata, penguatkuasaan PKP pastinya memberi kesan terhadap sektor ekonomi di negeri yang mengutamakan industri pelancongan namun ia bukan kali pertama dilaksanakan.

Justeru, beliau memohon orang ramai supaya mematuhi peraturan ditetapkan Kerajaan Persekutuan demi keselamatan dan kesihatan orang ramai.

“Saya akan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) hari ini dan kita akan melihat semula kehendak yang diputuskan Majlis Kelamatan Negara (MKN) bagi menangani peningkatan kes itu.

“Semalam, Melaka merekodkan pesakit positif COVID-19 seramai 37 orang, kelmarin 50 orang dan jumlah keseluruhan masih dirawat seramai 339.

“Saya bimbang, jika kes terus meningkat, semua sektor dan industri kita akan turut terjejas sekali gus melemahkan pembangunan ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah ION Forte Green City di Ayer Keroh Country Club (AKCS), di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri yang juga Pengerusi Melaka Golf Resort, Datuk Rahmad Mariman.

Views:

426
Kongsi :
Previous post Ion Forte Green City @ Ayer Keroh mercu baharu pelancongan Melaka
Next post Tiada insiden serbu pasar raya di Melaka
Ubah saiz-+=