Ion Forte Green City @ Ayer Keroh mercu baharu pelancongan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 12 Jan – Pembangunan Ion Forte Green City @ Ayer Keroh di kawasan seluas 9.3 hektar dijangka menjadi mercu tanda baharu industri pelancongan di negeri ini dalam tempoh tujuh tahun akan datang.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, pembangunan diusahakan Kumpulan NCT Group of Companies secara usahasama dengan Ayer Keroh Country Club (AKCC) dilengkapi lima presint yang merangkumi pelbagai kemudahan termasuk kediaman servis mewah, suite kesihatan, rumah kelab dan kompleks komersial.

Katanya, pembangunan bernilai RM600 juta dan dijangka siap keseluruhannya pada 2028 itu mampu memacu pertumbuhan ekonomi negeri dalam jangka masa panjang meskipun negara bergelut pandemik COVID-19.

“Seperti saya maklumkan menerusi amanat kepada penjawat awam semalam, tahun ini adalah pelaksanaan apa yang dirancang sebelum ini dan rancangan untuk menjadikan negeri Melaka sebagai negeri lestari perlu dilaksanakan sebaik mungkin bagi menggamit kedatangan pelancong ke negeri ini.

“Difahamkan rancangan bagi pembangunan ini dijalankan sejak dua tahun lalu dan tahun ini adalah tahun untuk melaksanakannya iaitu memulakan kerja pembangunan Ion Forte Green City,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Ion Forte Green City di AKCC, di sini hari ini.

MELAKA 12 JANUARI 2021. Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama, Sulaiman Bin Md Ali, hadir Majlis Pekar Tanah Ion Forte Green City di Kawasan Parking Driving Range, Ayer Keroh Country Club.PHOTO/MHI

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri yang juga Pengerusi Melaka Golf Resort, Datuk Rahmad Mariman; Pengarah Urusan Kumpulan NCT Group of Companies, Datuk Seri Yap Ngan Choy dan Ketua Pegawai Eksekutif AKCC, Datuk Wira Dr Ir Ahmad Zaini Mohd Amin.

Mengulas lanjut, beliau berkata pembangunan itu bagaimanapun perlu mengutamakan mesra alam dengan memelihara alam sekitar di kawasan ini.

“Pembangunan mestilah memenuhi aspek mesra alam demi memastikan alam sekitar di kawasan itu terbela kerana kawasan AKCC secara asasnya dibina oleh Allahyarham Tun Ghafar Baba, jadi saya mahu segala pembangunan yang dirancang mesti menjaga nilai sejarah yang terdapat di kawasan sekitar,” katanya.

Views:

992
Kongsi :
Previous post PKP: MITI rangka SOP pelan kesinambungan syarikat
Next post Bersama putuskan rantaian COVID-19 – KM
Ubah saiz-+=