Tiada kerjasama dengan Bersatu dalam kerajaan negeri – Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

MELAKA 24 Nov – UMNO negeri tidak akan menjalinkan kerjasama bersama Perikatan Nasional (PN) dengan menggabungkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu dalam pembentukan kerajaan negeri.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pihaknya tidak akan menerima mana-mana cadangan daripada pihak tertentu yang mahu membabitkan ADUN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub dan ADUN Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof bagi membentuk kerajaan negeri.

Katanya, tindakan itu selaras dengan pendirian UMNO yang tidak akan menjalinkan kerjasama politik bersama Bersatu sebagaimana diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tahun lalu.

“”Kita tidak akan bekerjasama dengan mana-mana wakil BERSATU dalam membentuk kerajaan negeri seperti yang diputuskan pada PAU tahun lalu.

“Mana-mana cadangan untuk menggabungkan mereka (dua ADUN berkenaan) tidak akan diterima dan kita tetap dengan pendirian tidak bekerjasama dengan BERSATU,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu lalu, BN memperoleh majoriti besar dengan memenangi 21 daripada 28 kerusi dipertandingkan manakala dua lagi diperolehi PN dan lima lagi Pakatan Harapan (PH).

Susulan kemenangan itu, terdapat cadangan daripada pihak tertentu untuk menggabungkan dua ADUN itu bagi membentuk kerajaan negeri seperti yang dilakukan di peringkat kerajaan Pusat.

Sebelum ini, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dilaporkan berkata kedudukan dua ADUN PN dalam barisan EXCO belum diputuskan dan akan mengadakan perbincangan bersama kepimpinan UMNO dengan mengambil kira senario parti itu yang bertanding secara solo dalam PRN.

Semalam, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, dilaporkan berkata, tiada keperluan untuk dua ADUN baharu daripada PN itu dilantik sebagai Ahli EXCO Melaka kerana BN mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi iaitu melebihi dua pertiga.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

641
Kongsi :
Previous post Insiden keracunan makanan dalam negara masih terkawal – Khairy
Next post Caruman baharu KWSP dikreditkan ke akaun ke akaun 1 bagi tingkatkan simpanan – Mohd Shahar
Ubah saiz-+=