‘Tiada masalah dilantik EXCO atau sebaliknya’ – ADUN Klebang

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

KLEBANG 25 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang Datuk Lim Ban Hong menegaskan sama sekali tiada konflik jika dirinya terpilih untuk dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) atau sebaliknya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, apa jua jawatan sama ada di peringkat pusat, negeri mahupun wakil rakyat kawasan sekali pun, fungsinya tetap sama iaitu untuk berkhidmat kepada rakyat.

Justeru, katanya, tiada keperluan untuk berbicara soal jawatan pada ketika ini kerana semua pihak perlu menghormati Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali serta kepimpinan parti dari Barisan Nasional (BN) dan MCA.

“Saya tak boleh mendahului ketua menteri dan kepimpinan parti kerana saya sebagai ADUN dan wakil rakyat perlu menghormati mereka.

“Saya pasti akan ada pengumuman dalam masa terdekat dan buat masa ini sebagai ADUN kita telah mula jalankan tugas dan akan lakukan yang terbaik kerana mandat yang diberi rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

“Namun, saya menerima apa jua keputusan dan serahkan sepenuhnya kepada Ketua Menteri dan kepimpinan parti,” katanya.

Dalam pada itu mengulas mengenai kejayaan MCA merampas semula dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, beliau menyifatkan ia sebagai satu amanah dan kepercayaan besar oleh rakyat negeri ini.

“Bukan sahaja UMNO, tetapi MCA dan MIC juga telah diberi kepercayaan untuk menerajui negeri Melaka dan dan saya yakin kepercayaan ini akan dibalas sebaik mungkin terutama dalam membantu pemulihan ekonomi pasca COVID-19.

“Apapun, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengundi di Melaka yang memberikan sokongan kepada BN yang ternyata merangkumi suara semua kaum dalam negeri ini,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1230
Kongsi :
Previous post Kerajaan rancang secara sistematik ganti pesawat Hawk dalam CAP55
Next post 12,000 graduan bakal mendapat manfaat program Mohe x Shopee : Siswa Mall
Ubah saiz-+=