Tiada perarakan sempena Hari Kebangsaan di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 13 Ogos – Sambutan Bulan Kemerdekaan pada tahun ini akan disambut sederhana tanpa penganjuran sebarang perarakan.

Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem berkata, bagaimanapun sambutan yang bakal diraikan di Dataran Sejarah Ayer Keroh lebih menjurus kepada sambutan secara statik iaitu dengan mengadakan perhimpunan bagi menyambut acara itu.

“Di peringkat kerajaan negeri kita ada perancangan dan akan sambut secara statik, tiada perarakan akan dilaksanakan bagi menyambut Hari Kebangsaan di Dataran Sejarah, Ayer Keroh.

“Namun bagi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) kesemu kawasan DUN di Melaka akan meraikan Ambang Merdeka bergantung kepada pengurusan di kawasan masing-masing.

“Kerajaan negeri juga merencana pelbagai aktiviti untuk menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan kali ini dengan pelbagai penganjuran lain menerusi kerjasama Jabatan Penerangan Negeri serta Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali merasmikan Program Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang Peringkat Negeri Melaka di Dataran Sejarah di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari; Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis; Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, VP Shanmugam; Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Azis; ADUN Pantai Kundor, Tuminah Kadi; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh dan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri, Shahrom Ravin Daram Abdullah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

10754
Kongsi :
Previous post Melaka lancar PICC berkonsep pusat ‘tuisyen kencing manis’
Next post Premis kerajaan, swasta di Melaka diarah pasang Jalur Gemilang
Ubah saiz-+=