Melaka lancar PICC berkonsep pusat ‘tuisyen kencing manis’

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

SUNGAI RAMBAI 13 Ogos – Bagi mengoptimumkan rawatan diabetes pesakit di peringkat komuniti, Pharmacy Integrated Community Care (PICC) Peringkat Negeri Melaka 2022 dilancarkan di Pusat Komuniti Desa (PKD) Sungai Rambai.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Rusdi Abd Rahman berkata PICC itu bakal berkonsepkan ‘Tuisyen Kencing Manis’ yang pertama di negeri ini.

Katanya, ia akan menghimpunkan pesakit kencing manis di pusat komuniti berhampiran dengan empat modul interaktif diberikan kepada pesakit.

“PICC merangkumi aktiviti pengurusan ubat-ubatan, amalan gaya hidup sihat dan pengambilan diet yang seimbang.

“PICC ini bertujuan untuk mewujudkan kumpulan sokongan yang membantu meningkatkan motivasi dalam mengawal diabetes.

“Selain itu, PICC diharapkan dapat membantu pesakit dalam pengurusan diabetes secara holistik termasuk aspek ubat-ubatan, diet, pemakanan dan aktiviti fizikal yang mampu memberikan kesan lebih baik kepada rawatan para pesakit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran program Pharmacy Integrated Community Care (PICC) di PKD Sungai Rambai, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Siti Faizah Abd Azis, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Farmasi) Normah Talib dan Timbalan Pengarah Cawangan, Penggunaan Ubat Berkualiti Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi, Munira Muhammad.

KUMPULAN pesakit diebetis mendengar taklimat daripada wakil Pegawai Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.

Mengulas lanjut, Dr Rusdi turut memaklumkan terdapat peningkatan sebanyak enam peratus pesakit diabetes dalam tempoh setahun di negeri ini.

“Secara keseluruhan di Malaysia hampir 1 juta pesakit didaftarkan di bawah National Diabetes Registry 2020.

“Di Melaka seramai 93,646 pesakit diabetes telah didaftarkan berbanding 88,226 pesakit pada tahun 2019,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2228
Kongsi :
Previous post Lelaki serang petugas, pelajar pusat tahfiz positif dadah
Next post Tiada perarakan sempena Hari Kebangsaan di Melaka
Ubah saiz-+=