IMG_20220813_010434

Lelaki serang petugas, pelajar pusat tahfiz positif dadah

KUANTAN, 13 Ogos – Dua daripada lima lelaki yang disyaki terlibat dalam kes menyerang petugas dan pelajar sebuah pusat tahfiz di Lipis yang tular di media sosial telah ditahan di sekitar Damak Jerantut, semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata dua suspek berusia 30-an itu turut mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan jenayah dan dadah selain ujian saringan air kencing mereka juga didapati positif methamphetamine.

Beliau berkata kedua-dua mereka telah direman selama empat hari bermula hari ini manakala polis telah mengenal pasti identiti tiga lagi suspek yang masih bebas dan usaha mengesan mereka masih giat dilakukan.

“Siasatan awal mendapati, lima suspek berkenaan telah ke pusat tahfiz itu sekitar 5.10 petang semalam dan tiga daripada mereka dipercayai bertindak menyerang seorang petugas tahfiz serta seorang pelajar di situ.

Akibat serangan itu, petugas tahfiz berkenaan yang juga merupakan seorang ustaz telah cedera di sebelah mata kanan dan menerima empat jahitan selain lebam di badan manakala pelajar tersebut telah mengalami sakit badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, hasil siasatan awal juga mendapati kejadian dipercayai berpunca akibat perasaan tidak puas hati bayaran makanan yang dikenakan di pusat tahfiz itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 448 kanun sama kerana menceroboh kawasan.

Sementara itu, Azli merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang membantu untuk mengesan suspek selain menasihatkan masyarakat supaya tidak menularkan video berkenaan dan membuat spekulasi berhubung kes itu. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1401
Wee Ka Siong Previous post Malaysia, Maldives setuju saling iktiraf lesen memandu domestik
IMG_20220813_111007 Next post Melaka lancar PICC berkonsep pusat ‘tuisyen kencing manis’