Tidak ada yang berminat kerja menoreh getah

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

ASAHAN 29 Mac – Penoreh getah dan pemotong buah kelapa sawit antara pekerjaan ditawarkan untuk diisi pada penganjuran Karnival Jamin Kerja Asahan 2022 peringkat negeri 26 Mac lalu.

Namun, tidak ada kekosongan yang diisi bagi jawatan berkenaan yang ditawarkan Sime Darby Plantation, namun syarikat itu mendapat lebih 15 permohonan kerja bagi penyelia ladang dan penyelia.

Secara keseluruhan sebanyak 1,500 peluang peluang pekerjaan ditawarkan oleh 10 majikan daripada pelbagai sektor industri di seluruh negeri ini.

Karnival kerjaya itu sebagai usaha Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menawarkan peluang pekerjaan secara langsung kepada orang ramai khususnya di daerah Asahan dan kawasan sekitarnya.

Antara peluang kerja lain yang ditawarkan ialah operator pengeluaran kilang, penyelia, juruwang, pekerja stor, juruteknik kilang, pengurus, pemandu peribadi dan juruteknik stim grad 2.

Selain Sime Darby, majikan lain yang turut menjayakan program itu adalah 99 Speedmart, Allied Precision Technologies, Winstron Technologies, Ansell, Kolej Yayasan Melaka, Konica Minolta, Medivest dan LG Group.

Penganjur turut menyediakan pelbagai perkhidmatan pekerjaan kepada pencari kerja seperti bantuan pendaftaran Portal Pekerjaan Negara – MYFutureJobs dan sesi kaunseling kerjaya.

Sementara itu, beberapa pencari kerja yang ditemui memuji keprihatinan PERKESO menganjurkan program itu dan memilih kawasan luar bandar berbanding sebelum ini.

Bagi Ahadiah Sumari, 28, dia berterima kasih kepada PERKESO kerana membantunya mendapatkan pekerjaan.

“Saya dibuang kerja Nov tahun lalu, namun PERKESO menerusi program ‘My Future Job’ membantu saya menghadiri beberapa temuduga selepas itu.

“Kedatangan saya hari ini juga atas bantuan PERKESO yang sudah mengatur sesi temuduga bersama beberapa majikan,” katanya.

Bagi graduan, Laila Mun, 38, dia tidak mengetahui banyak kemudahan dan insentif disediakan kepada golongan sepertinya.

“Selepas mendaftar dengan pihak PERKESO, banyak maklumat saya perolehi tentang kemudahan dan perkara yang saya lakukan sebagai pencari kerja,” ujarnya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1749
Kongsi :
Previous post Malaysia bersedia bantu UK, Eropah dalam krisis bekalan minyak bijian
Next post Ramai tidak tahu manfaat Elaun Mencari Kerja
Ubah saiz-+=