Tiga fokus utama PBT Melaka
SERI NEGERI 1 Februari – Kerajaan Negeri menggariskan tiga fokus utama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai kerajaan tempatan sekali gus memahami dasar Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata ia meliputi hal ehwal kerajaan tempatan, prihatin permasalahan masyarakat setempat serta mengambil tahu isu-isu tempatan, nasional mahupun di peringkat global.
“Justeru itu dalam melaksanakan kewajipan dan tugas sebagai Datuk Bandar dan Yang Dipertua, lengkapkanlah diri dengan ilmu dan kefahaman terhadap fungsi, peranan dan tugas yang disandang.
“PBT perlu peka terhadap hal ehwal kerajaan tempatan, prihatin permasalahan masyarakat setempat serta mengambil tahu isu-isu tempatan, nasional mahupun di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Datuk Bandar dan Yang Dipertua PBT di Bilik Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan serta lain-lain barisan Exco Kerajaan Negeri.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata tahun 2023 merupakan tahun rekayasa perkhidmatan dalam usaha menyelesaikan isu-isu demi mencapai keberhasilan yang optimum.
“Ia menjadi lebih bermakna buat kita semua sekiranya setiap apa yang dilaksanakan mencapai matlamat demi kemaslahatan seluruh rakyat Negeri Melaka,” katanya.
Terdahulu Sulaiman menyaksikan lafaz sumpah Datuk Bandar dan tiga Yang Dipertua PBT pada majlis berkenaan serta menyerahkan watikah pelantikan kepada Shadan Othman (Datuk Bandar MBMB) diikuti Saifuddin Abdul Karim (Yang Dipertua MPAG), Rosemanizam Mohd Nalif@Zawawi (Yang Dipertua MPJ) dan Sapiah Haron (Yang Dipertua MPHTJ).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.