Teliti semula etnik Rohingya terbabit dalam aktiviti perniagaan – Shadan

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

SERI NEGERI 1 Februari – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman akan meneliti isu aktiviti perniagaan membabitkan etnik Rohingya dilaporkan di Kampung Semabok, mengikut undang-undang ditetapkan.

Shadan berkata jika didapati ada pelanggaran undang-undang, etnik itu tidak akan dibenarkan menjalankan aktiviti perniagaan.

“Tentang isu perkampungan Rohingya saya belum teliti sepenuhnya, tetapi difahamkan mereka ini menetap di kawasan Semabok dan iaitu di kawasan kampung.

“Saya cuba perincikan juga isu-isu yang saya dengar dan baca ini, saya dapati etnik Rohingya ini aktif berniaga dan bekerja di kawasan itu.

“Jadi kita akan ikut undang-undang kecil seperti undang-undang kecil perniagaan dan sebagainya. Sekiranya tidak boleh berniaga kita tidak akan izinkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melafaz sumpah sebagai Datuk Bandar MBMB yang baharu berkuatkuasa hari ini di hadapan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di Bilik Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Seri Negeri, di sini.

Mantan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) itu berkata, tiga isu yang disebut Ketua Menteri ketika berucap pada majlis itu juga akan diberikan perhatian.

“Masalah penjaja, kebersihan bandar dan aduan masyarakat akan diberikan perhatian seleras hasrat Ketua menteri.

“Kebersihan ini semestinya menjadi keutamaan kita sebagai persediaan untuk menyambut Tahun Melawat Melaka 2024 nanti,” katanya.

Mengulas lanjut, Shadan juga dalam proses memperincikan segala permasalahan di bawah kawasan pentadbirannya termasuklah isu-isu melibatkan rakyat yang masih tertangguh.

“Antara permasalahan itu adalah banjir, bagi mengatasi masalah itu bukan sekadar membabitkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebaliknya banyak jabatan lain.

“Insya-Allah kita akan perincikan satu persatu nanti, isu-isu tertangguh juga kita akan perincikan semula. Apa yang pastinya hasrat Kerajaan Negeri kita perlu ikut dan cuba selesaikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1607
Kongsi :
Previous post Tiga fokus utama PBT Melaka
Next post Gilap potensi ekopelancongan Jasin
Ubah saiz-+=