Tiga kawasan perindustrian berteknologi tinggi Melaka bakal jadi kenyataan

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

BANDA HILIR 29 Februari – Kementerian Ekonomi telah meluluskan peruntukan pembangunan berjumlah RM4.4 juta bagi kerja-kerja awalan dalam membangunkan tiga kawasan perindustrian baharu di Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kelulusan telah diberikan kepada Perbadanan Melaka (MCorp) bagi kerja-kerja projek fizikal binaan melibatkan jabatan atau agensi tahun 2024.

Katanya, tiga kawasan terbabit adalah bagi pembangunan MCorp Hi Tech Park dengan keluasan 2,023.4 hektar (5,000 ekar); German Technology Park dengan keluasan 364.2 hektar (900 ekar) dan seluas 243.5 hektar (601.7 ekar) bagi pembangunan Elkay 2.0 di Jasin.

“Kesemua pembangunan perindustrian yang bercirikan teknologi tinggi ini diharapkan dapat memenuhi dan melengkapi keperluan para pelabur untuk terus mengadakan usahasama dan meneraju pembangunan perindustrian sehingga peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Melaka Industrial Night di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Hadir sama, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut hadir, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Timbalan Pengerusi MCorp, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Ketua Pegawai Eksekutif MCorp, Datuk Mohd Yusof Abu Bakar serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, selain menitikberatkan penyediaan dari segi prasarana fizikal, Kerajaan Negeri turut konsisten dalam menambah baik perkhidmatan melalui pemerkasaan peranan Invest Melaka sebagai pusat pemudahcara dan pembangunan pelaburan.

Jelas Ketua Menteri, Invest Melaka merupakan induk yang akan menerajui agensi promosi pelaburan (IPA) negeri dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, jabatan dan agensi teknikal.

“Justeru,berkait inilah tertubuhnya Jawatankuasa Sekretariat Melaka Industrial Booster (MIB). Sekretariat ini bertindak sebagai ‘First Point Of Contact’ bagi mentadbir urus berkaitan kemudahan pelaburan di Negeri Melaka.

“Dengan penubuhan sekretariat ini, proses permohonan dan urusan pelaburan dilaksanakan dengan lebih teratur dan pantas sekali gus membuka ruang dan peluang kepada pelabur tempatan dan antarabangsa untuk melabur dalam pelbagai sektor ekonomi di Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

567
Kongsi :
Previous post Melaka Industrial Night: Hargai peranan pelabur
Next post Melaka sasar nilai pelaburan RM10 bilion, fokus 10 sektor industri
Ubah saiz-+=