Melaka sasar nilai pelaburan RM10 bilion, fokus 10 sektor industri

Masa Membaca:2 Minit, 33 Saat

BANDA HILIR 29 Februari – Melaka menetapkan sasaran nilai pelaburan RM10 bilion yang memfokuskan kepada 10 sektor industri pada tahun 2024, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, 10 sektor industri tersebut adalah elektrik dan elektronik; automotif; aeorangkasa; gas dan minyak; teknologi boleh diperbaharui; pembuatan halal; bioteknologi; mesin dan peralatan; famaseutikal dan maritim.

Ketua Menteri memaklumkan beberapa strategi telah dirangka Kerajaan Negeri untuk menggamit lagi pembangunan ekonomi jangka panjang sehingga 2035 melalui flagship satu dalam Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ2035).

Jelas beliau, menerusi pelan tersebut Kerajaan Negeri telah menggariskan 25 inisiatif untuk pembangunan ekonomi secara holistik melibatkan pembangunan sektor pembuatan, pelaburan, kewangan, pembangunan kawasan selat Melaka Waterfront Economic Zone (MWEZ) dan pembangunan TVET bagi menyokong keperluan modal insan.

Justeru, beliau optimis fokus tersebut berupaya mengembangkan potensi pelaburan sekali gus menjadikan Melaka sebagai destinasi pelaburan pilihan utama di rantau ini.

“Menurut laporan oleh pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), dalam tempoh tiga tahun sejak 2021 hingga suku tahun ketiga 2023, MIDA telah meluluskan sebanyak RM19 bilion bagi pelaburan baharu dan tambahan ke Negeri Melaka. Ia merangkumi 480 projek serta berjaya mewujudkan 10,427 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor dan peringkat jawatan.

“Malah, ketika saya memegang jawatan sebagai EXCO kanan pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan negeri Melaka pada tahun 2022, kita telah berjaya mencatatkan pelaburan tertinggi dengan nilai pelaburan sebanyak RM8.574 bilion sekali gus Melaka diiktiraf antara lima negeri memperoleh nilai pelaburan tertinggi oleh MIDA.

“Ini menunjukkan kejayaan dalam hasil usahasama antara kerajaan dan pihak swasta yang bersama-sama menggembleng tenaga dalam mewujudkan ekosistem pelaburan yang stabil, kondusif serta kompetitif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Melaka Industrial Night di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut hadir, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Timbalan Pengerusi MCorp, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Ketua Pegawai Eksekutif MCorp, Datuk Mohd Yusof Abu Bakar serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf memaklumkan, pada tahun 2022, Negeri Melaka telah menyumbang sebanyak RM45.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.

Jelasnya, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 8.6 peratus daripada RM41.9 bilion pada tahun 2021, di mana rekod tertinggi merupakan sektor perkhidmatan sebanyak RM23.3 bilion, diikuti sektor pembuatan sebanyak RM16.9 bilion atau 37.2 peratus nilai KDNK negeri Melaka.

“Mengikut rekod statistik ekonomi Negeri Melaka, daripada 445,400 penduduk bekerja di negeri ini, sektor pembuatan mencatatkan bilangan penduduk bekerja paling ramai iaitu sebanyak 25 peratus atau 111,400 penduduk.

“Rekod penyertaan tenaga buruh di negeri juga mencatatkan kadar tinggi sebanyak 67.1 peratus,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

625
Kongsi :
Previous post Tiga kawasan perindustrian berteknologi tinggi Melaka bakal jadi kenyataan
Next post CMIEA jadi penanda aras kecemerlangan industri
Ubah saiz-+=