Tiga kluster baharu libatkan tempat kerja direkodkan

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 23 Ogos – Tiga kluster baharu direkodkan di Melaka membabitkan penularan di tempat kerja di daerah Melaka Tengah dan Jasin, semalam.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan memaklumkan Kluster Industri Lot Tujuh direkodkan di Zon Industri Perdagangan Bebas Batu Berendam membabitkan penularan dalam kalangan pekerja kilang.

Jelasnya, kes indeks membabitkan wanita tempatan  berusia 25 tahun yang disahkan positif COVID-19 pada 8 Ogos lalu hasil saringan individu bergejala dan kes mula bergejala sejak lima hari sebelumnya.

Satu kes baharu direkodkan menjadikan keseluruhan 21 kes setakat ini, hasil saringan ke atas 210 individu.

Sementara itu, kluster kedua dikenali sebagai Kluster Jalan TBD 1 diisytiharkan apabila 24 pekerja di sebuah pasar raya di Taman Duyung Bestari dikesan positif.

“Kes indeks kluster ini membabitkan perempuan tempatan berusia 19 tahun yang dilaporkan positif pada 14 Ogos lalu selepas kes terbabit mula bergejala pada 9 Ogos lepas.

“Seramai 124 individu telah menjalani ujian saringan dan terdapat pertambahan satu kes baharu hari ini (semalam) menjadikan keseluruhan 24 kes positif direkodkan setakat ini,” katanya.

Seterusnya, kluster ketiga dikenali sebagai Kluster Industri Jalan Elkay Utama direkodkan membabitkan pekerja kilang Kawasan Perindustrian Elkay di Jasin.

Menurut KKM kes indeks membabitkan lelaki tempatan berusia 23 tahun yang disahkan positif COVID-19 pada 6 Ogos lalu hasil daripada saringan individu bergejala.

“Kes mula bergejala pada 31 Julai lalu dan sebanyak 14 kes baharu direkodkan menjadikan keseluruhan 39 kes selepas 1,650 individu menjalani ujian saringan COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan negeri (JKN) merekodkan 558 kes positif baharu semalam, iaitu 493 warganegara dan 65 kes bukan warganegara.

Sebanyak tiga kematian direkodkan membabitkan dua lelaki warga emas dan seorang wanita berusia 42 tahun, masing-masing mempunyai latar belakang penyakit kronik.

“Sehingga kini sebanyak 8,749 kes masih dirawat di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) awam dan swasta.

“Daripada jumlah itu, 93 ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan 27 memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

346
Kongsi :
Previous post Mayat lelaki 50-an ditemui dalam longkang
Next post Lebih 55 peratus populasi dewasa lengkap dua dos – JKAV
Ubah saiz-+=