Tiga lelaki ditahan cuba seludup mercun daripada Kelantan ke Johor

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KUALA KRAI, 23 Mac – Polis menahan tiga lelaki selepas menemukan 97 kotak besar berisi mercun dan bunga api bernilai RM45,000 dalam lori yang dinaiki mereka dalam perjalanan ke Johor, di Jalan Batu Jong, di sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata ketiga-tiga lelaki berumur 24, 32 dan 57 tahun itu ditahan oleh Unit Kereta Peronda (MPV) yang sedang membuat rondaan di lokasi berkenaan pada pukul 3.30 petang, dan mereka didapati memperolehi barangan itu di satu kawasan di tepi jalan di Kota Bharu.

“Mereka disyaki cuba mengangkut mercun dan bunga api ke selatan tanah air dengan upah RM1,600. Difahamkan suspek utama berusia 57 telah membayar RM800 kepada pemandu serta kelindannya, dan bakinya selepas barangan berjaya dihantar ke lokasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam persidangan media di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai di sini hari ini, dan turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun dan Ketua Polis Kuala Krai, Supt Suzaimi Mohamad.

Mengulas lanjut, Shafien berkata kesemua suspek tanpa rekod jenayah lampau itu direman selama empat hari hingga esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, yang jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

521
Kongsi :
Previous post Wanita maut ditetak suami di Segama, Sabah
Next post Pengawal keselamatan didakwa bunuh penyelia kedai buku
Ubah saiz-+=