Tiga projek naik taraf landskap MPHTJ siap Disember depan

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 21 Julai – Tiga projek membabitkan kerja naik taraf keindahan landskap di bawah Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dijangka siap Disember depan.

Yang Dipertua MPHTJ Shadan Othman berkata, tiga projek berkenaan membabitkan pencahayaan di sepanjang pintu masuk Ayer Keroh, projek landskap taman di bawah jejambat berhampiran pasaraya Mydin dan Dataran Sejarah Ayer Keroh.

Katanya, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan tender sebut harga di laman web MPHTJ dalam tempoh dua minggu ini.

“Ketiga-tiga projek berkenaan akan bermula dalam masa terdekat selepas sebut harga dikeluarkan dan semua projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

“Bagi projek mengindahkan landskap Dataran Sejarah Ayer Keroh pula dijangka siap awal tahun hadapan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata susun atur landskap bagi kawasan di bawah jejambat dan Sataran Sejarah Ayer Keroh telah siap dirangka, namun pemilihan syarikat kontraktor akan dibuat dalam tempoh terdekat selepas tender sebut harga dikeluarkan.

Tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu diselaraskan dengan ucapan Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md Ali pada pembukaan Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, yang mahu kawasan bandar di bawah seliaan MPHTJ bukan sahaja mencapai status Bandar Bahagia, malah diiktiraf MURNInets sebagai bandar paling mampan di negara ini dengan pemarkahan 97 peratus.

Malah menerusi ucapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama (Dr) Haji Mohd Ali Mohd Rustam pada pembukaan persidangan sama, berhasrat melihat penambahbaikan kemudahan dengan lebih sistematik dan realistik supaya memberi impak besar kepada pertumbuhan ekonomi Melaka.

Views:

641
Kongsi :
Previous post Tiada lagi kuarantin di rumah
Next post Melaka Wonderland terus tawarkan diskaun buat ‘frontliners’
Ubah saiz-+=