Tiga syarat untuk mohon lesen niaga daripada MPHTJ

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

BUKIT KATIL 5 Feb. –  Tiga syarat utama perlu dipatuhi penjaja di tepi jalan bagi mendapatkan lesen perniagaan selama tiga bulan yang dikeluarkan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

Yang Dipertuanya, Datuk Shadan Othman berkata, tiga elemen itu adalah kebersihan, kesihatan dan keselamatan perlu dititkberatkan penjaja dalam kawasan itu.

“Dari sudut kebersihan penjaja perlu memastikan kebersihan makanan dan lokasi sebelum dan selepas berniaga.

“Manakala dari sudut kesihatan peniaga perlu mendapatkan suntikan tifoid ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar penjaja terhindar dari sebarang penyakit termasuk penyakit kulit yang akan membahayakan pembeli.

“Yang ketiga, faktor keselamatan perlu dipandang serius termasuk lokasi perniagaan yang selamat dan operasi yang perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di gerai penjaja di Jalan Tun Hamzah, di sini hari ini.

Shadan berkata, penjaja disarankan melakukan permohonan lesen tanpa sebarang sasaran diletakkan seiring hasrat kerajaan negeri dalam inisiatif Melaka Bebas Berniaga selama setahun bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi golongan terjejas pandemik COVID-19.

Katanya, bayaran lesen itu sebanyak RM63 untuk tempoh tiga bulan dan MPHTJ sudah meluluskan kira-kira 60 peniaga sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula.

“Peniaga cuma perlu melengkapkan borang dan disertakan salinan kad pengenalan, suntikan tifoid dan sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mendapatkan lesen ini.

“Bagaimanapun, kita mewajibkan peniaga mendapatkan suntikan itu namun buat peniaga yang tidak berdaftar dengan SSM, MPHTJ mempunyai budi bicara buat mereka dengan memberikan tempoh selama tiga bulan,” katanya.

Dalam lawatan itu kira-kira 10 gerai penjaja diberikan lesen secara terus bagi memberi sokongan golongan terjejas akibat pandemik itu.

Selain itu, Shadan turut menasihati penjaja memastikan keselamatan lokasi perniagaan termasuk perjalanan trafik dalam kawasan itu.

Views:

2869
Kongsi :
Previous post Petronas Dagangan Bhd raih Anugerah Platinum Putra Brand 11 tahun berturut-turut
Next post COVID-19: 13 anggota Balai Polis Lubok China diarah kuarantin
Ubah saiz-+=