Tindakan tegas jika buru harimau di Hutan Simpan Bukit Sedanan

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

BANDAR MELAKA 21 Sept – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang berburu harimau di Hutan Simpan Kekal Bukit Sedanan, Selandar.

Pengarahnya, Mohd Firrdhaus Mahmood menegaskan, kawasan itu sudah diwartakan sebagai kawasan larangan berburu kerana memiliki pelbagai hidupan liar, terutama harimau bintang (panthera pardus).

“Habitat Hutan Simpan Bukit Sedanan perlu dipulihara dan dilindungi kerana memiliki pelbagai khazanah alam semula jadi, selain haiwan liar yang dilindungi sepenuhnya.

“PERHILITAN tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja yang didapati berburu atau memasang perangkap haiwan liar sama ada di hutan itu atau kawasan lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, setakat ini pemantauan pegawai jabatan itu mendapati harimau kumbang yang dikesan di hutan berkenaan tidak menimbulkan ‘kacau ganggu’ atau konflik dengan manusia.

TOK Batin Ahmad Salleh.

Beliau mengulas dakwaan ketua komuniti orang Asli suku Temuan di Perkampungan Orang Asli Kampung Air Dusun, Tebong, Tok Batin Ahmad Salleh, 61, mendakwa terjumpa kesan tapak kaki haiwan itu di hutan berkenaan baru-baru ini.

Ketika ditemui di kampung itu baru-baru ini, Ahmad mendakwa, dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi beberapa minggu lalu, ketika mencari buah kerdas dalam hutan berkenaan, dia terkejut melihat kesan tapak kaki haiwan liar itu sebesar satu telapak tangan lelaki dewasa.

“Sebaik sahaja terjumpa kesan tapak kaki itu, saya segera keluar dari hutan berkenaan dan meminta beberapa anak buah yang saya jumpa dalam hutan itu supaya segera keluar kerana saya yakin kesan itu masih baru,” katanya.

Sementara itu, adiknya, Selamat, 57, mendakwa terserempak seekor harimau kumbang ketika masuk ke hutan berkenaan untuk mencari hasil hutan beberapa bulan lalu.

Dia mendakwa, ketika dia menuruni bukit dalam hutan itu pada jam 12 tengah hari, tiba-tiba muncul seekor harimau kumbang dalam jarak kira-kira 10 meter di hadapannya.

“Haiwan liar itu agak rendah tetapi badannya panjang dan matanya merenung tepat ke arah saya tetapi saya bernasib baik kerana tiba-tiba sahaja dia berpaling ke kanan dan terus berlalu pergi,” katanya.

Berikutan itu, Selamat bergegas keluar dari hutan berkenaan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1221
Kongsi :
Previous post Saran guna ejen pelancongan untuk bercuti di Melaka – MATTA
Next post UTeM anjur webinar antarabangsa tentang keselamatan digital global dan forensik
Ubah saiz-+=