Saran guna ejen pelancongan untuk bercuti di Melaka – MATTA
AYER KEROH 21 Sept. – Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka menyambut baik pengumuman Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang mencadangkan Melaka sebagai salah satu destinasi yang akan dibuka kepada pelancong domestik selepas Pulau Langkawi.
Presidennya, Goh Hock Gin berkata, pengumuman itu nyata memberi kelegaan buat pemain industri pelancongan yang kini tinggal ‘nyawa-nyawa ikan’ apabila pintu sempadan negeri ditutup.
Bagaimanapun, beliau berharap orang ramai dapat menggunakan ejen pelancongan yang berdaftar jika memilih Melaka sebagai destinasi percutian.
“Pemilihan ejen pelancongan sangat penting kerana ia diyakini lebih selamat dan dapat membantu memantau prosedur operasi standard (SOP) ketat dalam kalangan pengunjung.
“Jangan salah faham, khidmat ejen pelancongan berdaftar ini bukan diwajibkan, tapi sebenarnya kita memang galakkan mereka guna ‘travel agent’ sebab ia lebih selamat selain dapat memantau SOP ketat sepanjang bercuti di Melaka.
“Kita ada 54 ejen pelancongan yang berdaftar di negeri ini yang mana kini 100 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan 95 peratus sudah lengkap vaksinasi.
“Kita juga sudah bersedia untuk mematuhi SOP ketat yang ditetapkan termasuklah memeriksa sijil vaksinasi pengunjung dan melakukan sanitasi berkala di premis dan kenderaan yang digunakan,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya juga akan menyediakan pelbagai pakej pelancongan menarik di Melaka antaranya pakej dengan harga serendah RM188 hingga RM388 bagi percutian tiga hari dua malam.
“Pelancong boleh memilih pakej yang diinginkan merangkumi penginapan di hotel serta pakej bersiar-siar di bandar (city tour) selama setengah hari,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nancy Shukri mengumumkan tiga destinasi iaitu Genting Highlands, Pulau Tioman dan Melaka telah diluluskan Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 untuk dibuka kepada pelancong menerusi gelembung pelancongan domestik.
Destinasi itu dijangka akan dibuka bermula 1 Oktober dengan SOP perjalanan masuk ke tiga destinasi tersebut akan diperhalusi sedikit masa lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.