Sorting by

×

Persediaan 80 peratus jika sektor pelancongan kembali operasi – MyBHA

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 21 Sept. – Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Melaka  memaklumkan ahlinya kini berada pada tahap 80 peratus bagi persediaan pembukaan kembali sektor pelancongan di negeri ini.

Pengerusinya Sazali Sabri berkata, pengumuman Melaka sebagai satu daripada lokasi pelancongan tempatan yang bakal dibuka pada Oktober depan menerusi gelembung pelancongan memberi khabar gembira buat pemain industri perhotelan di negeri ini.

“Kami komited bagi memperkasakan kembali pelancongan negeri ini setelah hampir dua tahun terjejas akibat penularan COVID-19.

“Setakat ini pelbagai persiapan telah dilaksanakan kesemua pemain industri di Melaka jika sektor pelancongan dibenarkan dibuka tidak lama lagi.

“Persiapan sekitar 80 peratus telah dilaksanakan ahli persatuan ini bagi menyediakan perkhidmatan yang lengkap dan selamat buat pelancong yang akan menginap di hotel kami,” katanya kepada MHI.

Jelasnya, setakat ini terdapat hotel di bawah persatuannya telah kembali beroperasi di negeri ini termasuk membenarkan makan di kafe premis hotel.

“Bila sempadan negeri dibuka kita yakin sambutan terhadap pelancongan Melaka akan meningkat seperti mana kebenaran yang diberikan di pusat pelancongan Port Dickson, Negeri Sembilan,” katanya.

Pada masa sama, Sazali menasihatkan semua pemain industri supaya mengetatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagai garis panduan utama agar tiada penularan berlaku setelah sektor itu dibuka.

“Alhamdulillah, kita bersyukur dan lega apabila Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nancy Shukri mengumumkan Melaka antara negeri pelancongan yang dibenarkan dibuka tidak lama lagi.

“Namun, kita perlu sentiasa mengingatkan pada pemain industri mahupun pelancong untuk mengetatkan SOP ketika berada di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

793
Kongsi :
Previous post Semburan kabus nano tidak mampu ganti kaedah pembersihan permukaan secara manual
Next post Saran guna ejen pelancongan untuk bercuti di Melaka – MATTA
Ubah saiz-+=