Tingkatkan produktiviti, lakukan pembaharuan – Exco
AYER KEROH 20 Oktober – Warga pendidik dinasihatkan supaya tidak terlalu selesa dengan kemahiran dan kecemerlangan yang diberikan sebaliknya tingkatkan mutu perkhidmatan dengan meneroka cabaran baharu supaya kekal relevan dalam memenuhi aspirasi pendidikan negara.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, warga pendidik perlu peka menangani perubahan dalam persekitaran masing-masing selain bersifat terbuka untuk menerima sebarang pembaharuan.
“Diharap para pendidik membuat pembaharuan berterusan supaya kita sentiasa responsif, relevan dan berkesan dalam memenuhi aspirasi negara, besar harapan saya agar budaya kecemerlangan terus dipraktikkan dalam melaksanakan setiap tugasan yang diamanahkan.
“Tinggalkanlah legasi dengan memberikan perkhidmatan terbaik tidak kira dimana sahaja anda (warga pendidik) berkhidmat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Daerah Jasin Tahun 2022 di Ballroom Seri Chendana di sini, hari ini.
Hadir sama, Pegawai Pendidikan Pejabat Daerah Jasin, Baharudin Husin; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Perancangan, Musalmah Mohamad dan lain-lain kenamaan.
Pada majlis itu seramai 274 warga pendidik di daerah Jasin menerima anugerah masing-masing di atas perkhidmatan cemerlang yang diberikan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata, anugerah itu juga sebagai motivasi kepada semua penerima untuk mempertingkatkan produktiviti dan mutu kerja ke tahap lebih tinggi walau apa jua halangan.
“Jangan mudah berasa selesa dengan kemahiran yang ada, sebaliknya, sentiasa berusaha menimba pengalaman baharu.
“Anugerah ini bukan hanya pengiktirafan kepada warga menunjukkan komitmen dan dedikasi yang tinggi terhadap tanggungjawab yang diamanahkan, tetapi satu langkah ke arah membudayakan kecemerlangan secara menyeluruh dalam semua aspek,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.