TMM2024 cerminan Melaka destinasi percutian pilihan

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 20 Disember – Kejayaan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) menjadi cerminan kepada kemampuan negeri ini untuk menganjur dan menjadi tuan rumah kepada pelbagai program bertaraf dunia.

Sehubungan itu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengingatkan TMM2024 berbaki kurang dua minggu lagi menuntut komitmen bersama semua pihak di Negeri Melaka bagi menjayakannya.

Ketua Menteri berkata, jika TMM2024 berjaya mencapai matlamat dan objektif ditetapkan, maka kejayaan itu adalah milik semua orang Melaka.

“Kerajaan Negeri telah menggariskan lapan fokus utama dan memperkasa sektor pelancongan menerusi penganjuran TMM2024 adalah satu satu daripadanya.

“Kejayaan kempen TMM2024 adalah cerminan awal kepada keupayaan kita untuk menjadi tuan rumah bagi World Tourism Day (WTD) dan World Tourism Conference (WTC) pada tahun 2025 nanti,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kempen Cabutan Bertuah dan Kupon Diskaun Sempena TMM2024 dan Pelancaran Pelan Induk Pelancongan Melaka 20235 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut hadir Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Penangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Ab Rauf optimis kerjasama semua pihak khusus penggiat industri pelancongan, TMM2024 mampu mencapai jumlah kedatangan pelawat domestik dan antarabangsa seperti yang disasarkan sebelum ini.

“Saya optimis kita mampu mencapai sasaran yang ditetapkan ini, hasil kerjasama yang padu dan komitmen yang tinggi daripada semua pihak. Inisiatif pengecualian visa yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan juga akan memberikan kelebihan kepada Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

720
Kongsi :
Previous post Maxus T60 antara lima cabutan utama TMM2024
Next post Melaka jamin tiada kenaikan kadar hotel pada TMM2024
Ubah saiz-+=