TMM2024: Penyelenggaraan jalan mampu capai 80 peratus

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

BUKIT KATIL 18 Mei – Kerja membaiki atau naik taraf jalan persekutuan dan negeri mampu mencapai sehingga 80 peratus menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, kerja yang perlu dijalankan secara berperingkat dan kekangan kewangan membantutkan sasaran pihaknya untuk membaiki serta menaik taraf semua laluan di Melaka.

“Banyak kekangan untuk capai 100 peratus, kita juga belum menerima sepenuhnya peruntukan bagi membaiki jalan persekutuan.

“Sebahagian jalan (negeri) melalui CMI Infra bagi kerja penyelenggaraan dan baik pulih sedang dilaksanakan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Jamuan Aidilfitri Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka di Kompleks JPJ Melaka, di sini, hari ini.

Hameed mengingatkan kontraktor atau pemaju agar tidak melaksanakan kerja menurap, membina atau membaiki jalan ketika waktu puncak bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Contoh dua minggu lalu ada pemaju membuat jalan susur di bulatan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) pada waktu puncak, iaitu waktu siang ditambah pula cuti hujung minggu, menyebabkan berlaku kesesakan teruk.

“Jalan itu adalah laluan utama pelancong masuk ke negeri Melaka, jadi pemaju atau kontraktor perlu ikut prosedur operasi standard (SOP). Tidak dibenarkan melakukan pembinaan pada waktu berkenaan sebaliknya melaksanakannya bukan pada waktu puncak atau waktu malam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2049
Kongsi :
Previous post Membaca 10 minit setiap hari, jadikan amalan
Next post Subsidi minyak masak: Peniaga kecil disaran daftar perniagaan – Fuziah
Ubah saiz-+=