TNB sedia perluaskan NFCP

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

JASIN  6 Julai – Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersedia memperluaskan Pelan Gentian Optik Dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) ke seluruh negara dalam menyediakan perkhidmatan internet jalur lebar berkelajuan tinggi kepada pengguna.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan mengalu- alukan projek ini kerana bukan hanya syarikat telekomunikasi (telco), malah syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut memainkan peranan.

“Difahamkan mereka (TNB) sedia memperluaskan ke negeri lain yang strategik di Semenanjung Malaysia.

“Bagi kerajaan kami mengalu- alukan pembabitan TNB dalam bidang ini dan paling mustahak saya lihat ini sebagai ‘complimentary’ antara TNB dan syarikat telco,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika melawat Projek Rintis NFCP Taman Merbau Perdana, di sini.

Hadir sama Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab Rahman dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Ghazale Muhamad.

Saifuddin berkata, tiga lokasi di Jasin, Melaka dipilih sebagai Projek Rintis NFCP dan dimulakan pada Januari 2019 oleh TNB.

“Ia membabitkan sebanyak 1,100 premis di tiga lokasi iaitu di Taman Merbau Perdana, Taman Maju dan Felda Kemendor.

“Melalui pelan ini pengguna dapat menikmati perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi dari 30Mbps sehingga 1Gbps,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, melalui projek ini pengguna mempunyai banyak pilihan dalam memilih syarikat telekomunikasi yang mana ingin mereka guna.

“Orang selalu fikir TNB hanya membekalkan elektrik tetapi apa yang berlaku (dibelakang) infra itu disediakan oleh TNB,” katanya.

Views:

284
Kongsi :
Previous post Tindakan banteras pendatang tanpa izin perlu dihormati semua pihak – KPISM
Next post Malaysia catat 2,649 kes berkaitan penyakit zoonosis
Ubah saiz-+=