Tragedi beli persiapan raya

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

LENDU 14 April – Perjalanan seorang lelaki dan anak saudaranya ke bazar Aidilfitri untuk membeli persiapan raya berakhir dengan tragedi berdarah selepas mereka maut dalam kemalangan di Jalan Lendu, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam pemandu Perodua Myvi Muhammad Hasraf Amin Hasrin, 23 dan bapa saudaranya yang juga penumpang hadapan kereta terbabit, Mohd Firdaus Yusof, 38, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman.

Sementara itu seorang lagi mangsa yang juga bapa saudara kepada Muhammad Hasraf berusia 38 tahun dilaporkan parah dan kini sedang dirawat di zon merah Hospital Alor Gajah.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati kesemua mangsa sedang dalam perjalanan dari Taman Dimensi Lendu menghala ke Pekan Masjid Tanah untuk ke bazar Aidilfitri.

Katanya, setibanya di tempat kejadian, kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar sebatang pokok di bahu kiri jalan.

“Akibat rempuhan itu pemandu dan penumpang hadapan disahkan meninggal dunia lokasi kemalangan manakala penumpang belakang parah di kepala.

“Mayat mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada Jabatan Perubatan Forensik Hospital Alor Gajah. Hubungan ketiga-tiga mangsa yang terlibat nahas ialah anak saudara dan bapa saudara,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4569
Kongsi :
Previous post Mahasiswa tidak terpinggir terima sumbangan Bakul Rahmah
Next post COVID-19: Tiga kluster pendidikan dilaporkan di Melaka
Ubah saiz-+=