Tujuh ditahan dalam operasi pusat panggilan penipuan tawaran pekerjaan

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 7 Jun – Polis menahan tujuh individu disyaki terbabit dengan sindiket penipuan tawaran kerja tidak wujud dalam serbuan di Kota Laksamana di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, serbuan bermula jam 5 petang itu hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Katanya, selain menahan tujuh individu membabitkan enam lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 16 hingga 26 tahun, pihaknya turut merampas empat komputer riba serta tiga telefon bimbit.

“Hasil pemeriksaan awal dan penelitian barang kes mendapati sindiket ini terlibat dalam penipuan tawaran kerja tidak wujud yang mensasarkan rakyat Malaysia sebagai mangsa. Kumpulan ini mengiklan tawaran kerja menerusi Facebook, mangsa yang berminat akan menekan pautan Whatsapp di laman Facebook.

“Mangsa kemudian dihubungkan dengan ahli sindiket berperanan sebagai ‘admin’ untuk mengajar cara melakukan pekerjaan ‘like dan share’ di laman web tertentu bertujuan meningkatkan ‘rating’ barangan,” katanya menerusi dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mangsa diarahkan membuat 50 tugasan ‘like dan share’ sebelum memperoleh komisen RM12 hingga RM60 bagi setiap tugasan.

“Disebabkan terpengaruh dengan komisen, mangsa akan membuat bayaran ke e-wallet dalam sistem untuk menjalankan tugasan. Sindiket akan memberikan resit yang telah diubah suai bagi meyakinkan mangsa bahawa pembayaran komisen telah dibuat,” katanya.

Christopher berkata, dengan kejayaan itu JSJK Melaka berjaya menyelesaikan 10 kes penipuan bagi tahun 2024 daripada pelbagai kontinjen yang menyumbang kepada statistik kerugian berjumlah RM32,390.80.

“Kesemua orang kena tahan (OKT) dalam tahanan reman bermula 7 Jun (hari ini) sehingga 10 Jun 2024. Siasatan menyeluruh terhadap semua OKT masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan sindiket ini dalam kes penipuan yang lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

116
Kongsi :
Previous post Skim pelaburan di laman sosial taktik menipu – Pengarah JSJK Bukit Aman
Next post Umat Islam di Malaysia sambut Aidiladha pada 17 Jun
Ubah saiz-+=